Sindiket curi tabung ekzos kenderaan untuk hasilkan emas putih tumpas
02/12/2020 08:33 PM
MELAKA, 2 Dis — Polis Melaka menumpaskan sindiket curi tabung ekzos kenderaan atau ‘catalytic converter’ untuk penghasilan emas putih yang mula aktif sejak September lepas.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shahrul Lailli Masduki berkata sindiket berkenaan yang dikenali sebagai Geng Emas Putih didalangi tujuh lelaki tempatan bagaimanapun berjaya ditahan menerusi Op Lejang yang dilakukan pihaknya pada 18 hingga 25 Nov lepas.
“Kesemua lelaki terdiri daripada seorang pembeli dan enam pencuri berusia 19 hingga 42 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan berasingan di sekitar Tanjung Minyak, Malim dan Durian Tunggal.
“Selain itu, polis turut merampas 65 tabung ekzos kenderaan daripada kesemua suspek yang ditahan dan penjenayah terlibat menyasarkan kenderaan jenis kontinental,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrul Laili berkata siasatan awal mendapati tabung ekzos yang dicuri akan dijual ke pasaran luar negara dengan harga antara RM600 hingga RM1,600 manakala proses penghasilan emas putih juga dilakukan di luar negara.
“Siasatan juga mendapati 30 daripada 65 ekzos yang dirampas daripada suspek yang ditahan melibatkan kejadian di sekitar Melaka khususnya di daerah Melaka Tengah dan bakinya masih dalam siasatan.
“Modus operandi geng berkenaan ialah menyasarkan kereta yang diparkir di luar rumah atau bengkel kereta dan aktiviti mencuri atau membuka tabung ekzos melibatkan masa antara lima hingga 10 minit bagi mengelak ditangkap.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaaan kerana mencuri komponen kenderaan dan kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut dengan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Pasangan kekasih remaja ditahan tipu pembelian emas RM98,921