Polis tumpas sindiket seludup rokok, 1.2 juta batang rokok dirampas

Muar: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dengan merampas 1.2 juta batang rokok putih dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta termasuk nilai cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Naib Kadir, Bukit Pasir di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata dalam serbuan kira-kira 2.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA5) Simpang Renggam bersama IPD Muar itu turut menahan seorang lelaki berusia 54 tahun.

“Pemeriksaan dalam rumah itu menemui 118 bungkusan rokok pelbagai jenama, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,699.

“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira manakala lelaki warga tempatan itu direman selama tujuh hari bermula 15 hingga 22 April,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, hari ini.



Raiz Mukhliz berkata, dipercayai modus operandi dilakukan sindiket itu adalah mencari lokasi sunyi untuk memunggah rokok sebelum diedarkan ke premis kedai runcit.

“Rokok berkenaan akan dipasarkan di kedai runcit di sekitar Muar, dan ia dijual secara sorok-sorok di kedai berkenaan.

“Mengikut pasaran dan cukai harga rokok berkenaan adalah sekitar RM800,000 tetapi dijual 50 peratus lebih murah menyebabkan ramai pelanggan membelinya,” katanya.

Raiz Mukhliz berkata, sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak sebulan lalu.



“Rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM420,000, dengan nilai cukai RM800,000 manakala kenderaan bernilai RM10,000.

“Semua rampasan dibawa ke IPD Muar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker