Ibu bersama bayi 30 hari harung banjir pukul 1 pagi

04/12/2020 09:11 AM

MARANG, 4 Dis — Dalam keadaan cuaca yang hujan dan sejuk, seorang bayi yang baru berusia 30 hari terpaksa dibawa keluar dari rumahnya ke pusat pemindahan sementara (PPS) seawal 1 pagi, akibat banjir yang berlaku secara mengejut.

Fateema Nur Arbaiyyah Jusoh, 29, sambil mendukung bayinya itu Nur Syafia Fakhira Mohd Shahrul, terpaksa mengharungi air setinggi satu meter dari rumahnya di Kampung Rhu Dua, di sini sejauh kira-kira 50 meter sebelum menaiki kereta peronda polis, awal pagi semalam.



Katanya, suami Mohd Shahrul Nizzam Ismail, 34, bersama dua lagi anak mereka Muhamad Shamir Feyrash, 6, dan Muhamad Sharhan Faqih, 3, turut mengharungi banjir bersamanya, kemudian dibawa menaiki trak polis menuju ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

“Tidak sangka rumah kami dinaiki air kali ini kerana yang terakhir adalah ketika banjir buruk pada 2014. Nasib baik saya dan suami tergerak hati untuk mengemas barang apabila hujan turun dengan sangat lebat petang Rabu.

“Pada sebelah malam pula apabila air semakin naik hingga memasuki bahagian dapur, suami terus membuat keputusan supaya kami berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS SK Rusila di sini.

Fateema Nur Arbaiyyah berkata meskipun terpaksa menghadapi sedikit kesulitan menguruskan bayinya di PPS, namun dia bersyukur kerana berpindah lebih awal dan semua ahli keluarganya selamat.



Nur Syafia Fakhira merupakan mangsa termuda di PPS SK Rusila yang mempunyai 186 mangsa dari enam kampung dan dua taman perumahan di sekitar Marang.

Sementara itu, seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) terpaksa didukung anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas pekarangan rumahnya di Kampung Rhu Renggeh, di sini, dinaiki air setinggi satu meter.

Zainab Pak Deraman, 65, berkata pada kejadian kira-kira 1.30 pagi Khamis itu, beliau didukung sejauh 50 meter dari rumahnya di Kampung Rhu Renggeh ke pacuan empat roda milik APM berikutan tidak dapat berjalan sejak empat tahun lepas kerana menghidap penyakit strok.

“Air naik sampai ke pekarangan rumah. Mujurlah rumah mak cik tinggi jadi air tidak masuk ke dalam rumah. Mereka (APM) dukung mak cik sehingga ke kereta. Sampai di sekolah (PPS SK Rusila) pula anak lelaki mak cik bawa guna kerusi roda.



“Pada asalnya mak cik tidak mahu pindah sebab tinggal di PPS dalam keadaan fizikal mak cik yang sebegini memang tidak selesa. Kalau boleh mak cik hendak balik sekarang juga kerana rindukan rumah,” katanya.

Zainab turut menangis kerana sedih dengan situasi dirinya itu sehingga terpaksa ditenangkan anggota APM dan wartawan Bernama.

420 mangsa banjir di Seremban dipindahkan ke PPS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button