Lebih banyak kawasan di Terengganu dilanda banjir, 1,817 orang dipindahkan

Hebahkan !!!


(gambar fail)

04/12/2020 12:11 AM

KUALA TERENGGANU, 3 Dis — Situasi terkini di Terengganu menyaksikan dua lagi daerah iaitu Hulu Terengganu dan Besut pula dilanda banjir malam ini dengan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 49 dalam tempoh enam jam, berbanding 17 PPS petang tadi.

Jumlah mangsa banjir dipindahkan juga menunjukkan peningkatan mendadak kepada 1,817 orang daripada 503 keluarga setakat 10 malam ini, berbanding 781 orang daripada 218 keluarga pada 4 petang tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata peningkatan ketara berlaku di Marang iaitu seramai 681 mangsa daripada 181 keluarga berbanding 298 orang daripada 81 keluarga.

Pertambahan mangsa berkenaan susulan pembukaan empat lagi PPS malam ini, menjadikan keseluruhan tujuh PPS beroperasi di Marang.

“Daerah Setiu juga merekodkan peningkatan ketara mangsa kepada 284 orang daripada 77 keluarga berbanding 16 orang daripada empat keluarga petang tadi berikutan pembukaan 15 lagi PPS berbanding satu PPS sebelum ini,” katanya kepada pemberita malam ini.

Situasi sama berlaku di Kuala Terengganu apabila jumlah mangsa meningkat kepada 226 orang daripada 65 keluarga berbanding 159 mangsa daripada 46 keluarga petang tadi, namun tiada PPS baharu dibuka setakat ini.

Che Adam berkata di Kuala Nerus pula, enam PPS beroperasi menempatkan 200 mangsa daripada 51 keluarga berbanding 155 mangsa daripada 38 keluarga di tiga PPS petang tadi.

“Di Besut pula, sembilan PPS dibuka setakat ini menempatkan 265 mangsa daripada 79 keluarga manakala di Dungun, jumlah mangsa kekal 60 orang daripada 19 keluarga di tiga PPS,” katanya.

Bagaimanapun, di Kemaman, jumlah mangsa turun sedikit kepada 87 orang daripada 28 keluarga berbanding 94 orang daripada 30 keluarga di tiga PPS manakala di Hulu Terengganu pula, hanya satu PPS dibuka setakat ini menempatkan 14 mangsa daripada tiga keluarga.

Mangsa banjir yang dipindahkan dijangka meningkat lewat malam ini memandangkan kerja pemindahan masih giat dijalankan di beberapa kawasan, katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: