Mangsa banjir PPS Marang disediakan bilik ikut normal baharu, jamin keselesaan


MARANG, 4 Dis — Mangsa banjir Natrah Ibrahim, 41, (tengah) bersama anak-anaknya Tengku Najib Tengku Wahab, 23, (kanan) dan Tengku Abdul Hadi, 16, mengemas pakaian mereka ketika ditemui di pusat pemindahan banjir (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, hari ini.

04/12/2020 07:44 PM

MARANG, 4 Dis — Mangsa banjir daripada 25 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, di sini, agak bertuah kerana disediakan ruang yang selesa.

Tinjauan Bernama mendapati majoriti keluarga terjejas dari Kampung Selawa, Kampung Pantai Merchang, Kampung Padang Garam dan Kampung Pulau Rusa, berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan selari dengan pematuhan prosedur operasi standard bagi mengekang wabak COVID-19.



Mangsa banjir, Hazilah Mohd Ariffin, 40, dari Kampung Alur Tembesu berkata kemudahan berkenaan memberi ruang peribadi kepada ahli keluarganya untuk melakukan aktiviti kekeluargaan.

“Sebelum ini, saya sekeluarga dah banyak melalui kejadian banjir tahun-tahun sebelumnya namun ia kurang selesa kerana ditempatkan bersama-sama keluarga lain dalam satu dewan serbaguna,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, kesemua mangsa turut dilengkapkan dengan tilam, bantal dan bekalan makanan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan lain.

Seorang lagi mangsa, Natrah Omar, 47, mengakui dia bersama lapan anaknya berasa selesa berada di PPS berkenaan.



“Mudah untuk kami menyalin baju dan tidur bila bilik kelas ini disediakan,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Merchang Adnan Ibrahim berkata orang luar tidak dibenarkan masuk ke kawasan yang dikhaskan untuk keluarga mangsa banjir yang terjejas.

“Setiap kemasukan ke PPS ini akan disaring terlebih dahulu sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah menggerakkan sebanyak 144 pasukan terdiri daripada 672 kakitangan untuk bertugas sepanjang musim banjir kali ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata 144 pasukan itu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu pasukan kesihatan dan pasukan perubatan.

“Sebanyak 72 pasukan kesihatan dianggotai 314 kakitangan terlibat menjalankan aktiviti pencegahan serta kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di kawasan persekitaran Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta kawasan terjejas banjir.

“Setiap pasukan kesihatan ini diwakili tiga anggota iaitu penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi 72 pasukan perubatan pula, ia dianggotai 358 kakitangan yang diarah bersiap sedia untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta rujukan sekiranya terdapat mangsa yang memerlukan semasa berada di PPS.

Nor Azimi berkata setiap pasukan perubatan ini terdiri daripada lima anggota iaitu pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu.

Jumlah mangsa banjir Johor kini hanya 177 orang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker