Wajarkah program ‘Harimau Muda 2.0’ diwujudkan?

03/12/2020 07:40 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Sejak kebelakangan terdapat ura-ura sebuah pasukan dibarisi pemain muda negara seakan program Harimau Muda yang ditubuhkan pada 2007 akan bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.



Bagi penulis ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai rasional penubuhan pasukan itu tatkala keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memansuhkan program Harimau Muda pada 2015 bertujuan mengembalikan tanggungjawab membangun pemain belia kepada kelab.

Spekulasi mengatakan pasukan ‘Harimau Muda 2.0’ itu hanya akan dibarisi graduan generasi kedua Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) berusia antara 17 dan 18 tahun yang tidak berjaya mendapat kontrak sama ada bersama kelab domestik atau luar negara.

Seramai 12 pemain terbaik daripada keseluruhan 40 pelatih generasi kedua AMD telah menandatangani kontrak antara dua dan tiga tahun bersama juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor baru-baru ini.

Difahamkan pasukan Harimau Muda memerlukan perbelanjaan sekitar RM3 juta setahun.



Dalam kelembapan ekonomi susulan impak COVID-19 yang turut menjejaskan industri bola sepak negara, penulis berpendapat jumlah itu dilihat lebih berbaloi jika digunakan bagi menghantar atau memasarkan pelatih AMD di luar negara.

Pada masa sama, keperluan pasukan baharu itu bertanding dalam Liga-M turut menjadi persoalan selepas kira-kira 10 hingga 14 pemain dalam kalangan graduan generasi pertama AMD telah berjaya membuat penampilan bersama pasukan Liga Super dan Liga Premier musim lepas.

Selain itu, sejarah juga tercipta apabila bintang muda negara Luqman Hakim Shamsudin muncul pemain Malaysia pertama bermain di liga utama Eropah bersama kelab profesional Belgium KV Kortrijk setelah menandatangani kontrak selama lima tahun.

Sekiranya jumlah baki pemain yang tidak berjaya mendapatkan kontrak dengan pasukan di luar menjadi isu utama, penulis ingin tahu mengapa tiada cadangan untuk kesemua pemain tersebut dihantar menjalani ujian percubaan di kelab liga domestik sebelum musim baharu bermula?.



Sementara itu, dengan proses penswastaan persatuan (FA) ke kelab (FC) yang telah dilaksanakan, penulis melihat penubuhan ‘Harimau Muda 2.0’ akan menghalang tranformasi barisan pemain muda untuk lebih cepat bersama kelab sekali gus mungkin merencatkan proses ke arah karier profesional.

Segelintir peminat bola sepak tanah air menyifatkan spekulasi itu sebagai langkah kebelakang dalam usaha pelbagai pihak termasuk FAM yang komited menggerakkan bola sepak negara ke arah dimensi baharu.

Sebagai rekod, program Harimau Muda pada 2007 dilihat mempunyai rasional ketika itu memandangkan kejohanan Piala Belia hanya bermula pada 2008 sebelum pertandingan untuk pemain Bawah 19 Tahun (B-19) itu dan Piala Presiden (B-21) ditangguhkan musim ini susulan impak COVID-19.

Harimau Muda pernah bertanding dalam Liga Perdana, Liga Super, S League (Singapura), Liga Divisyen Pertama Slovakia dan Liga Queensland yang merupakan sebahagian daripada liga utama Australia.



Bagi penulis, walaupun penubuhan pasukan baharu itu kini baru memasuki fasa perbincangan dan sebarang ketetapan masih belum dibuat, namun adalah penting untuk perkara ini diperhalusi bersama semua pemegang taruh bola sepak negara termasuk pasukan bertanding dalam Liga-M.

Harimau Malaya main secara karnival



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button