Kerajaan terus berusaha tangani masalah pembelajaran dalam talian penuntut IPT


Datuk Dr Mansor Othman

05/12/2020 06:29 PM

BUKIT MERTAJAM, 5 Dis — Kementerian Pengajian Tinggi akan terus berusaha menangani masalah pembelajaran dalam talian yang sedang dihadapi sebahagian besar penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) ketika ini.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Mansor Othman berkata pihaknya mengakui pada masa ini terdapat dua cabaran besar yang sedang dihadapi penuntut menerusi pelaksanaan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian iaitu akses internet dan peralatan atau peranti yang digunakan bagi kaedah pembelajaran mengikut medium berkenaan.

“Memang (masalah akses internet) ini suatu isu yang besar. Selain itu peranti elektronik seperti komputer turut menjadi kekangan kepada penuntut untuk menjalankan tugasan semasa belajar di rumah. Maka untuk mengatasi masalah ini kementerian pengajian tinggi senantiasa bekerjasama dengan lain-lain agensi seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menyelesaikan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas program Sumbangan Komuniti @Permatang Pauh di sini hari ini.

Mansor berkata bagi mengurangkan masalah lemah capaian internet, pelbagai langkah telah diambil oleh kementerian untuk membantu penuntut antaranya mewujudkan pusat internet setempat di seluruh negara bagi membolehkan para pelajar yang tidak berada di kampus serta yang tidak memiliki akses internet di rumah untuk menggunakan khidmat pusat internet berkenaan.

“Selain itu pemberian bantuan ‘sekali beri’ kepada penuntut yang terjejas dengan COVID-19 turut diberikan manakala bagi penuntut yang perlu menjalani latihan amali, kita benarkan mereka pulang ke kampus untuk tujuan tersebut,” katanya.

Terdahulu Mansor menyerahkan sumbangan berupa barangan makanan dan wang tunai untuk pembangunan kawasan rukun tetangga (KRT) di kawasan Permatang Pauh, sembilan set komputer riba kepada penuntut di kawasan itu dalam kalangan keluarga kategori B40.

Kerajaan Qatar sedia dana AS$300,000 untuk pelajar pelarian di Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker