Lebih 160,000 ibu tunggal layak terima bantuan one-off RM300


BANGI, 5 Dis — Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berucap ketika Program Kembara Prihatin Negara (KPN) Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi, hari ini. Seramai 44 ibu tunggal diraikan pada program tersebut. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

05/12/2020 02:51 PM

BANGI, 5 Dis — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima hampir 200,000 permohonan untuk Bantuan Khas Ibu Tunggal dan daripada jumlah itu seramai 161,909 permohonan layak untuk menerima bantuan tersebut, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA), KPWKM menerima peruntukan RM45 juta untuk membantu 150,000 ibu tunggal yang layak dengan bantuan one-off RM300, namun pihaknya mengambil keputusan untuk membantu kesemua 161,909 ibu tunggal yang layak.



“Kementerian mengambil keputusan untuk memberi kepada semua yang layak walaupun peruntukan hanya untuk 150,000 orang, tetapi kami gunakan peruntukan dalaman untuk diberikan kepada tambahan 11,909 ibu tunggal kerana kami nak membantu seramai mungkin mereka yang layak dan terjejas.

“Proses pembayaran sedang dibuat sekarang dan semua penerima bantuan akan terima selewat-lewatnya pada 31 Dis ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Kembara Prihatin Negara – Bantuan Khas Ibu Tunggal, di sini hari ini.

Rina berkata setakat Khamis lepas, seramai 60,000 pemohon telah menerima Bantuan Khas Ibu Tunggal.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata KPWKM mendapat peruntukan RM21 juta di bawah Belanjawan 2021 untuk membina Pusat Sokongan Sosial Setempat yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti kepada golongan wanita.



“Di bawah Pusat Sokongan Sosial Setempat ini, ia akan dilengkapi dengan pelbagai agensi dan ia juga akan menjadi tempat perlindungan untuk wanita yang terjejas,” katanya sambil menambah pusat itu akan mula dibina di Selangor dan Johor.

Sementara itu, dalam program hari ini, seramai 45 ibu tunggal dari kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat, Dengkil dan Sungai Pelek menerima Bantuan Khas Ibu Tunggal dan bakul makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Teksi: Perbaharui kad pemandu tamat tempoh untuk bantuan one-off

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker