MCMC komited tingkat kemudahan telekomunikasi di perkampungan orang asli

05/12/2020 03:05 PM

CYBERJAYA, 5 Dis — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa komited menyedia dan mempertingkatkan kemudahan telekomunikasi di perkampungan orang asli di seluruh negara bagi memastikan masyarakat itu, khususnya generasi muda, tidak ketinggalan dalam era yang serba serbi digital.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan setakat Oktober lepas, sejumlah 61 menara telekomunikasi telah dibangunkan di kawasan perkampungan orang asli sementara lapan menara, termasuk di Pos Lemoi dan Pos Kampung Telimau di Cameron Highlands, Pahang, sedang dilaksana dan dijangka siap secara berperingkat bermula suku pertama tahun hadapan.

“Sejumlah 11 menara telekomunikasi di sepanjang laluan Jalan Sungai Koyan sehingga Lembah Bertam, Cameron Highlands telah dinaik taraf daripada menggunakan teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT) kepada rangkaian gentian optik untuk liputan 4G.

“Sembilan daripadanya, termasuk di dalam kawasan Pos Menson telah siap dibina pada Oktober tahun lepas dan telah selesai dinaik taraf kepada liputan 4G pada 5 Nov lepas,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Penambahbaikan liputan dan kualiti perkhidmatan kepada 4G bagi kawasan Cameron Highlands akan giat ditingkatkan seperti yang dirancangkan dalam pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), jelasnya.

Menurut kenyataan itu, usaha menaik taraf rangkaian telekomunikasi kepada perkhidmatan 4G akan membantu masyarakat orang asli di Pos Menson serta kampung sekeliling menikmati capaian internet yang lebih baik.

“Ia dapat menyokong keperluan norma baharu yang mana liputan dan rangkaian 2G dan 3G terutamanya di kawasan luar bandar sememangnya tidak mampu menampung keperluan permintaan perkhidmatan komunikasi yang semakin meningkat.

“Dengan terbinanya menara-menara telekomunikasi itu, masyarakat Orang Asli tidak lagi terpinggir dari dunia luar. Mereka boleh mendapat maklumat terkini, memperoleh ilmu pengetahuan, menjalankan urusan dengan kerajaan dan menjalankan perniagaan dalam talian sama seperti mereka yang tinggal di bandar,” katanya.

Pada Selasa lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah 85 menara baharu dengan perkhidmatan 4G akan dibina di 136 perkampungan orang asli di seluruh negara bermula pada suku kedua tahun hadapan melalui pelan JENDELA Fasa 1.

“Sebagai badan yang bertanggungjawab, MCMC akan memastikan segala perancangan yang telah diatur dalam pelan JENDELA akan berjaya merapatkan jurang digital yang wujud antara masyarakat bandar, pinggir bandar dan luar bandar di negara ini,” katanya.

Parlimen: Kerajaan tumpu optimum 3G dan 4G, tetap laksana 5G – Saifuddin

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker