Penduduk kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut tidak lena tidur bimbang hakisan pantai


Mangsa air pasang besar, Abd Razak Mohd Zaid, 30, (kiri) dan isterinya Nurul Hafizah Zulkifli, 32, (kanan) mengorek pasir yang terkumpul di hadapan pintu rumah mereka ketika tinjauan di Kampung Pengkalan Atap. Fenomena air pasang besar dan ombak tinggi yang menbadai rumahnya yang terletak hanya kira-kira 25 meter dari rumahnya turut membawa timbunan pasir.

05/12/2020 02:37 PM

BESUT, 5 Dis — Setiap kali musim tengkujuh penduduk lain risau dilanda banjir namun lain pula penduduk di Kampung Pengkalan Atap di sini yang resah dihantui hakisan pantai dan ombak kuat sehingga boleh memusnahkan kediaman mereka yang terletak di pesisir pantai Kuala Besut.

Mohd Nafi Sulong, 55, berkata kebimbangan pendudukan memuncak pada malam Khamis 3 Dis lepas, apabila berlaku air pasang besar menyebabkan percikan ombak masuk ke dalam rumah hingga ke paras lutut dan merosakkan beberapa bahagian rumah seperti tingkap dan pintu.



“Lebih kurang 10 malam Khamis, percikan air sampai ke bumbung dan turut membawa pasir pantai hingga masuk ke dalam rumah. Lebih kurang 3 pagi barulah air surut kembali. Rasa takut sangat ketika itu kerana ombak sangat kuat.

“Sejak lebih 30 tahun tinggal di sini, kejadian itu adalah yang terburuk pernah dirasai,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Pengkalan Atap Kuala Besut di sini.

Menurut Mohd Nafi, kejadian itu turut menyebabkan kira-kira 400 guni pasir yang disusun di belakang rumahnya sebagai benteng, runtuh dipukul ombak selain halaman belakang rumahnya dipenuhi pasir pantai setinggi satu meter.

“Rumah ini hanyalah kira-kira 25 meter dari pantai. Sebelum ini, agak jauh dari pantai sekitar 250 meter namun dalam tempoh 10 tahun ini kedudukan pantai semakin menghampiri kawasan kediaman akibat hakisan,” katanya.



Sementara itu, seorang lagi penduduk Abd Razak Mohd Zaid, 30, berkata sebelum kejadian terburuk pada Khamis lepas, rumahnya sudah beberapa kali terkena percikan kuat ombak dan dibanjiri air laut.

Katanya, dalam kejadian tiga tahun lepas, ombak kuat telah menyebabkan kayu terpelanting dan memecahkan pintu kaca namun bernasib baik kerana tidak terkena anak-anaknya.

“Sekiranya air masuk ke dalam rumah, lagi sukar hendak membasuh kerana barangan terutama pakaian akan dipenuhi pasir pantai. Lantai rumah kalau dibersihkan dua atau tiga kali pun akan tetap ada pasir pantai,” katanya.

Abd Razak berharap projek pembinaan benteng pemecah ombak yang dilaksanakan kira-kira empat tahun lepas segera disiapkan agar masalah hakisan pantai dan ombak besar yang menghantui penduduk selama ini akan selesai.

“Sebelum ini, saya nampak kerja-kerja membina benteng pemecah ombak kira-kira 500 meter dari pesisir pantai giat dijalankan. Namun sejak pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Mac tiada lagi kerja-kerja pembinaan sehingga hari ini,” katanya.

Amaran cuaca buruk di Kelantan dan Terengganu

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker