Penjual keropok lekor dipenjara sembilan bulan, halang tugas, langgar polis


Gambar hiasan.

04/12/2020 03:09 PM

KAJANG, 4 Dis — Seorang penjual keropok lekor dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menghalang tugas dan melanggar anggota polis serta memasukkan dadah ke dalam badan.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Samsuri Elias, 44, selepas dia mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.



Samsuri dijatuhi hukuman penjara masing-masing enam bulan bagi pertuduhan menghalang tugas dan melanggar polis manakala penjara tiga bulan bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan itu serentak bermula hari ini manakala penjara tiga bulan secara berasingan.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja enggan memberi kerjasama kepada anggota polis iaitu Raja Mohd Ali Omar Akasyah Raja Sulaiman di tempat letak kereta Taman Sri Reko, Hulu Langat, di sini, pada 11.30 malam, 30 Nov lepas mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, bapa dua anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas seorang anggota polis iaitu Mohd Haslizan Hashim di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.



Bagi kesalahan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam tubuh badannya, Samsuri dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 3.30 pagi, 7 Feb 2018 mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun.

Mengikut fakta kes, semasa beberapa anggota polis sedang membuat rondaan di tempat kejadian, mereka ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dan ketika pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut, pemandu telah memecut laju dan melanggar seorang anggota polis sehingga cedera.

Ketika prosiding, tiga adik tertuduh yang berada di galeri awam dilihat mengalirkan air mata selepas Muhammad Noor Firdaus menjatuhkan hukuman terhadap abang mereka.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung isteri serta dua anak.

“Saya insaf dan menyesal dengan perbuatan saya, saya bekerja sebagai peniaga keropok lekor dengan pendapatan minimum RM900 sebulan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman memohon hukuman berbentuk pengajaran dan deteren dengan alasan kes itu menyebabkan anggota polis yang sedang bertugas mengalami kecederaan.

Macau Scam, judi dalam talian: Pegawai dan anggota polis bakal digantung tugas, tamat perkhidmatan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker