JPBD Sandakan puji peniaga, pengangkutan awam laksana disinfeksi sendiri

05/12/2020 06:33 PM

SANDAKAN, 5 Dis – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan memuji golongan peniaga dan pengusaha pengangkutan awam, termasuk perkhidmatan pengangkutan laut, di sini yang mempunyai inisiatif sendiri menjalankan disinfeksi di premis, kenderaan serta bot masing-masing.

Timbalan Pengerusinya ACP Mohd Azhar Hamin berkata pihaknya menghargai kesungguhan dan sikap positif orang ramai di daerah itu dalam usaha bersama memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Kita (JPBD) telah menyarankan mereka (peniaga dan pengusaha pengangkutan awam) supaya membuat disinfeksi sendiri kerana bahan-bahan memang ada dijual di pasaran tempatan.

“Kita perlu lebih berhati-hati dengan memastikan kita sentiasa dalam keadaan yang bersih, sama ada diri ataupun kenderaan dan premis yang kita gunakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program saringan COVID-19 perkhidmatan pengangkutan laut, di sini hari ini.

Mohd Azhar, yang juga Ketua Polis Daerah Sandakan, berkata JPBD dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan masih giat menjalankan program saringan COVID-19, kempen kesedaran mengenai wabak itu dan pemantauan harga barang serta inisiatif disinfeksi kenderaan awam dan persendirian.

Katanya, penduduk di pulau sekitar juga tidak terkecuali daripada menerima manfaat usaha JPBD itu.

Selain itu, beliau berkata jawatankuasa berkenaan turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan dalam memastikan harga barang adalah berpatutan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

“Ada masyarakat yang terkesan PKPB. Lebih-lebih lagi sekarang ini musim tengkujuh dan bekalan ikan pula kurang. Kita bimbang ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan Martin Thomas berterima kasih kepada masyarakat di daerah ini yang membantu meringankan tugas JBPM yang diamanahkan oleh JPBD untuk membuat tugas disinfeksi awam.

“Mereka (masyarakat) menjalankan inisiatif disinfeksi dengan betul menggunakan bahan seperti yang kita (JBPM) gunakan iaitu sodium hipoklorit (bahan peluntur) pada nisbah yang sama seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sehingga semalam, Sandakan, yang dikategorikan sebagai zon merah, mencatatkan 813 kes aktif COVID-19.

MCA Sandakan serah sumbangan daripada CRSM kepada HDOK Sandakan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker