“KAU SEDAP MINTA BOIKOT, HABIS TU MEREKA BELAKANG TABIR NI MACAM MANA” – NABIL
“Saya baca semua komen tu… saya hormati pandangan semua kerana masing-masing ada pendapat sendiri dan saya sebagai pengacara pun bekerja, dibayar oleh stesen.
“Mereka yang nak boikot dan berharap program TV ini dihentikan pernah fikir tak berapa ramai orang akan hilang sumber pendapatan… kru produksi, abang-abang prop, jurukamera akan terkesan akibat tiada pekerjaan, anak bini dan keluarga mereka siapa nak tanggung?
“Saya anggap mereka ini tak faham… mereka hanya melihat apa ditayangkan di hadapan skrin, tapi lupa di sebalik kamera ada beratus yang perlu menyara keluarga mereka,” kata pelawak dan pengacara Nabil Ahmad yang meminta netizen berfikir secara matang dan tidak terpengaruh dengan emosi semasa memberikan pandangan.
Keputusan stesen televisyen meneruskan beberapa program hiburan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Klik untuk gambar besar
Segelintir mereka melancarkan kempen boikot di media sosial dan menggesa kerajaan menghentikan kesemua program hiburan kerana dianggap tidak berfaedah ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Sementara itu, pengacara program Gegar Vaganza ini memberitahu dia kerap mendengar rintihan dan kebimbangan kru produksi yang berharap program TV ini diteruskan demi kelangsungan hidup mereka.
“Sejujurnya ramai yang mengadu terutamanya pekerja belakang tabir yang mengharapkan kerja ini untuk terus menyara hidup. Bayangkanlah kalau program TV ini dihentikan dan diboikot, ke mana mereka nak pergi… kau sedap minta boikot, habis tu mereka belakang tabir ni macam mana?
“Banyak pihak akan terkait jika program ini dihentikan, penaja dah bayar, yang beli iklan pun dah keluar duit, dalam masa sama stokis dan ejen juga berharap dapat jual produk,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nabil berkata netizen seharusnya memikirkan sesuatu isu yang lebih penting dan tidak hanya sekadar menjadi hero di media sosial.
“Kalau rasa tak suka kau seorang sahajalah yang boikot tak perlu ajak orang lain.. mengajak orang lain boikot sesuatu perkara tak kisahlah program TV atau makanan sekalipun adalah tindakan yang kurang baik.
“Cukuplah jadi keyboard warrior, kalau tak suka ada cara lain yang boleh mereka buat. Mungkin mereka pun lupa TV itu ada butang off!” katanya.