Melaka salur RM43,200 kepada pengayuh beca

05/12/2020 09:02 PM

MELAKA, 5 Dis — Kerajaan Negeri Melaka menyalurkan insentif berjumlah RM43,200 kepada 216 pengayuh beca yang aktif di negeri ini bagi membantu mengurangkan beban mereka yang terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata insentif sekali beri sebanyak RM200 seorang melibatkan mereka yang mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata insentif itu adalah susulan pemberian sekali beri sebanyak RM600 yang disalurkan kerajaan pusat di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 1 April lepas.

“Pengayuh beca adalah antara golongan yang terkesan khususnya membabitkan aspek pendapatan mereka ekoran penularan COVID-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lepas dan 53 peratus daripada pengayuh beca di Melaka bergantung sepenuhnya pada pendapatan berkenaan.

Sekatan terhadap kemasukan pelancong asing telah menjejaskan sumber pendapatan sektor pelancongan ditambah pula dengan kawalan pergerakan domestik telah memberikan impak besar pada ekonomi Melaka yang bergantung kepada sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Sekali Beri dan Kit Makanan Kepada Pengayuh Beca di Auditorium Perbadanan Muzium Melaka di sini, hari ini.

Katanya, selain itu, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM33,000 untuk caruman SKSPS kepada 216 pengayuh beca bermula 1 Okt lepas, bertujuan untuk memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada pengayuh beca ketika memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

Belanjawan 2021: Ganjaran kepada individu salur maklumat salah laku, langgar undang-undang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker