P. Pinang zahir terima kasih, hanya lokasi bersasar diteruskan PKPB


Chow Kon Yeow (Sumber: Facebook)

05/12/2020 10:19 PM

GEORGE TOWN, 5 Dis — Kerajaan Pulau Pinang menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan COVID-19 yang telah mempertimbangkan permohonan dan cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata JKKNPP pada 3 Dis lepas telah membuat permohonan agar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini hanya dilaksanakan di lokasi-lokasi bersasar iaitu mukim atau lokaliti yang terkesan sahaja.

“Menerusi pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini, hanya Mukim 12, Daerah Barat Daya dan Mukim 13, Daerah Timur Laut sahaja akan disambung tempoh PKPB bermula dari 7 Dis hingga 20 Dis ini.

Manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal dilaksanakan membabitkan dua lokaliti zon merah iaitu flat-flat di Persiaran Paya Terubong, Relau dan Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) lanjut berhubung pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti berkenaan bakal diumumkan oleh MKN Negeri Pulau Pinang dan Polis Diraja Malaysia dalam tempoh terdekat.

“Sebagaimana dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), terdapat keperluan pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan penduduk setempat tanpa memberi risiko penularan kepada komuniti sekitar,” katanya.

Beliau berkata semua penduduk di lokaliti PKPD diseru untuk memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dan juga pejabat kesihatan daerah (PKD) bertugas.

PKP lanjut hingga Jun jika rakyat degil

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker