Pengerusi Amanah Perak tidak tolak kemungkinan kerjasama dengan parti lain


Datuk Asmuni Awi

05/12/2020 11:43 PM

IPOH, 5 Dis — “Tiada yang mustahil” apabila tiba masanya untuk membentuk satu gabungan baharu, kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Asmuni Awi hari ini.

“Dalam situasi mencabar ini, kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya kepada Bernama ketika ditanya sama ada Amanah Perak sanggup bekerjasama dengan parti politik lain di negeri ini bagi penubuhan sebuah kerajaan negeri yang baharu.

Asmuni merupakan antara tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diterima menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam undi percaya terhadap beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Dua lagi pemimpin PH berkenaan ialah Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Semalam, Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi yang menyokong berbanding 48 yang menolak sementara seorang ahli dewan berkecuali dalam usul undi percaya terhadap beliau yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).

DUN Perak terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, 16 DAP, lima Bersatu, lima Amanah, tiga PKR, tiga PAS dan masing-masing satu daripada Gerakan dan Bebas.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan telah mencadangkan supaya UMNO bekerjasama dengan Amanah dan PKR untuk membentuk sebuah kerajaan baharu di negeri ini.

Beliau dilaporkan berkata adalah tidak mustahil untuk berbuat demikian kerana parti berkenaan telah bersama-sama menolak usul undi percaya terhadap menteri besar.

Kenyataan sama juga dizahirkan ADUN Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari yang berkata apa pun boleh terjadi selagi ia mematuhi peraturan Perlembagaan dan tidak bertentangan dengan norma.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat khas badan perhubungan UMNO negeri malam ini yang dihadiri Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamed Nazri sendiri, tiada pemimpin PH yang hadir.

Leave a Reply