POSITIF COVID-19 – IBU MENTUA CIKGU SHAFI SEDAR DARI KOMA TAPI DITIDURKAN KEMBALI
Suami kepada guru vokal terkenal Shafizawati Sharif atau lebih mesra dipanggil Cikgu Shafi iaitu Mohd Noor Izwan Eddy telah berkongsi di Facebook tentang keluarganya yang didapati positif Covid-19.
“Salam Jumaat semua, disini saya mohon bantuan bacaan doa daripada semua adik beradik, saudara mara, kawan-kawan serta semua kenalan buat Noorilam binti baharudin – ibu (positif), Aliza norzuriani binti mohd ali napiah- adik (positif), Putri Aaina Dania binti Adly- anak saudara (positif), Muhd Airiel Adam bin Md Yusof – adik (negatif), Muhd Yuzri Nizal bin Md Yusof – adik (negatif), dan Muhd farzlan bin fadali – kawan adik (positif),” tulisnya.
Tambahnya, mereka mula bergejala pada 27 November lalu dan telah disahkan positif pada 1 Disember, 2020: “Mereka yang positif sekarang dirawat Di hospital Sg. Buluh. Keadaan ibu saya agak kritikal dan sekarang (Jumaat) dia menggunakan mesin bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Mohon semua Bantu doa agar dipermudahkan segala urusan sihat kembali kepada semua pesakit KORONA VIRUS. Semoga doa kita semua diterima dan dimakbulkan secepat mungkin dari Yang Maha Esa,” kata suami Cikgu Shafi.
Cikgu Shafi ketika dihubungi, mengakui keadaan ibu mentuanya agak kritikal kerana mempunyai penyakit kronik: “Ibu mentua saya mengidap hepatitis C dan mempunyai gejala batuk serta demam. Biarpun dia tak keluar rumah, tetapi dia mungkin mendapat jangkitan daripada yang datang ke rumahnya.
Klik untuk gambar besar
“Selepas empat hari batuk dan demam, dia meminta anaknya menghantar ke Hospital Glenagles. Dari situlah dia didapati positif dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang menjemputnya dan di hantar ke Hospital Sg. Buloh.
Menurut Shafi, mereka mendapat panggilan telefon daripada doktor pada hari Khamis sebelum Subuh dan diberitahu ibu kepada Eddy perlu ditidurkan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk mendapat bantuan alat pernafasan.
“Namun keadaannya semakin teruk apabila oksigen yang dimasukkan tidak masuk ke dalam darah menyebabkan tahap oksigen sangat rendah. Semalam (Jumaat) ibu terpaksa dibaringkan secara meniarap selama 16 jam dan ketika itu ada peningkatan dalam tahap oksigen.
“Doktor kata dia perlu dibaringkan secara terlentang, namun tidak sampai sejam tahap oksigen turun kembali. Alhamdulillah, seperti yang ditulis Eddy di Facebook, petang tadi tahap oksigen bertambah baik dan sudah boleh dibaringkan secara terlentang,” jelas Shafi.
Tambah Shafi lagi, biarpun ibu mentuanya sudah terjaga, tetapi atas nasihat doktor dia ditidurkan kembali kerana masih lemah untuk bernafas sendiri dan perlu menggunakan mesin bantuan pernafasan.
“Saya dan Eddy masih lagi memohon doa semua buat keluarga kami terutamanya buat ibu Eddy, adik perempuan Eddy, anak saudara perempuan kami dan kawan kepada adik lelaki Eddy serta semua yang positif Covid. Doa anda membantu.
“Saya dan Eddy juga ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada semua doktor-doktor, jururawat, dan frontliners yang sentiasa bekerja tak kira masa untuk membantu pesakit Covid.
“Setiap hari tanpa mengenal lelah, kami mendapat update daripada doktor di Sg. Buloh tentang keadaan ibu. Biar penat macam manapun mereka bekerja dan menjalankan tugas, mereka sentiasa akan memberi maklumat terkini pada kami kerana kami tak dapat melihat keadaan dia,” tutur Shafi mengakhiri bicara.