Sukar ikut norma baharu antara sebab penularan COVID-19 – Mohd Amar


Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

05/12/2020 10:31 PM

KOTA BHARU, 5 Dis — Sikap rakyat Kelantan yang mengambil mudah dan bersikap sambil lewa arahan kerajaan supaya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antara punca penularan COVID-19 sukar dikekang di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata angka jangkitan yang semakin meningkat dalam tempoh beberapa hari ini jelas menunjukkan seolah-olah penduduk tidak memandang serius dengan arahan kerajaan.



“Sepatutnya orang ramai yang kena memainkan peranan. Ambil perhatian dan sentiasa patuhi SOP. Bila sudah jadi begini (PKPB dilanjutkan) maka banyak pihak yang akan susah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Panchor dekat Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Tegasnya, kawasan Kota Bharu yang kekal Zon Merah bersama Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang membuktikan sikap rakyat tidak memandang serius arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Saya akui amat sukar untuk mendidik orang ramai dengan norma baru tetapi sekiranya kita memberi tumpuan sepenuhnya dan tetap patuh, penularan COVID-19 akan berjaya disekat,” katanya mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di empat daerah di Kelantan yang dilanjutkan sehingga 20 Dis ini..

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan PKPB di Kelantan turut ditamatkan esok seperti kebanyakan negeri-negeri lain, kecuali bagi daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Machang dan Tanah Merah.



Aidilfiri Di Norma Baharu, Mantapkan Perjuangan Demi Agama, Bangsa, Tanah Air – Zahid

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button