Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah beri suapan RM45,000 kepada ASP polis

07/12/2020 01:10 PM

JOHOR BAHRU, 7 Dis — Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memberi suapan wang berjumlah RM45,000 kepada seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP, minggu lepas.

Tertuduh Samudin Kambali, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan memohon dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Samudin didakwa memberi suapan kepada pegawai polis berkenaan yang berkhidmat di Cawangan Persenjataan/Komander di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor.

Ia sebagai dorongan supaya pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh dan 65 orang lagi yang ditahan semasa serbuan di sebuah premis hiburan di Ulu Tiram pada pukul 12.35 tengah malam, 2 Dis lepas.

Suapan itu juga sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan atas kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) 2020.

Berikutan itu, Samudin didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Suhaili Sapun memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin terhadap Samudin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Mohammad Muzammil Hairiri merayu agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai tanggungan lapan orang anak selain telah memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang ditahan reman.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan pada mahkamah selain perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap awal bulan.

20 Jan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

SPRM Kedah tahan tiga pegawai undang-undang P.Pinang minta suapan RM500,000

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker