JKDM Sabah rampas 30 kilogram syabu bernilai RM1.2 juta


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas kira-kira 30 kilogram dadah disyaki jenis syabu dianggar bernilai RM1. 2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tiga minggu lepas.

07/12/2020 12:57 PM

KOTA KINABALU, 7 Dis — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas kira-kira 30 kilogram dadah disyaki syabu dianggar bernilai RM1. 2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar berkata dadah terbabit terkandung dalam beberapa bungkusan yang disita oleh pasukan operasi JKDM Sabah pada 10 Nov lalu selepas bungkusan berkenaan gagal dituntut oleh pemiliknya.



“Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan berkenaan menemukan hablur jernih dipercayai syabu seberat 30 kg dan bungkusan tersebut dihantar dari Semenanjung.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat berkaitan kes berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Abdullah berkata dalam operasi berasingan pada 25 Nov lepas, anggota Kastam daripada Cawangan Penguatkuasaan LTAKK telah membuat serbuan ke atas sebuah premis di Tuaran berikutan terdapat bungkusan yang dituntut oleh pemilik premis berkenaan disyaki mengandungi bahan terlarang.



“Hasil serbuan yang turut menggunakan khidmat anjing pengesan menemukan dua bungkusan berisi dadah jenis ganja seberat 2.898 kg bernilai RM5,216.40 dan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata pada 30 Nov lepas, pihaknya merampas sebuah lagi bungkusan kerana disyaki mengandungi bahan terlarang, dan pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan berisi 2.874 kg dadah jenis ganja bernilai RM5,173.20.

“Kita percaya kes berkenaan berkaitan dengan tangkapan sebelumnya kerana alamat yang ditulis di bungkusan berkenaan sama dengan alamat premis di mana ganja dirampas sebelum ini,” tambahnya.

Abdullah berkata bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, JKDM Sabah merampas dadah jenis syabu bernilai RM5.56 juta dan ganja bernilai RM37,142.82.



Helah bungkusan hadiah buat pengurus rugi RM66,695

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button