SJR di Putrajaya berakhir berikutan penamatan PKPB
06/12/2020 11:45 PM
PUTRAJAYA, 6 Dis — Pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di empat lokasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya sejak 14 Okt lalu akan berakhir 12 tengah malam ini.
Empat lokasi itu adalah Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju (MEX Expressway), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil, Persiaran Utara Pintu Dua A menghala ke Kajang dan Persiaran Utara Pintu Tiga menghala ke Puchong.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, ASP Marlizan Pa’adek berkata sepanjang 54 hari pelaksanaan SJR, 248 kompaun telah dikeluarkan.
“Antara kesalahan adalah tiada surat kebenaran rentas negeri dan tidak mengikut kapasiti penumpang yang ditetapkan untuk PKPB,” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui selepas meninjau operasi terakhir dan mengemaskan peralatan di kawasan SJR, di sini malam tadi.
Beliau berkata operasi itu melibatkan 154 anggota polis termasuk kekuatan 42 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Marlizan berkata walaupun PKPB ditamatkan di Putrajaya, masyarakat harus terus patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk sama-sama memutuskan rantaian penularan COVID-19.
Katanya polis IPD Putrajaya akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa dengan dua pasukan pematuhan SOP dari Balai Polis Presint 7 dan 11.
Sebelum ini, PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor mula dilaksanakan pada 14 Okt lalu dan sepatutnya berakhir pada 27 Okt, tetapi disambung sehingga 9 Nov lepas.
Kemudian, PKPB dilanjutkan lagi selama empat minggu sehingga 6 Dis.