Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu tidak berubah

08/12/2020 10:08 AM

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Keadaan banjir yang melanda pantai timur Semenanjung tidak berubah pagi ini tanpa penambahan bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Pasir Mas kekal 37 orang sehingga 8 pagi ini.



Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata kesemua mangsa terdiri daripada lapan keluarga termasuk masing-masing seorang bayi lelaki dan perempuan yang ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Pasir Mas.

“Kesemua mangsa masih kekal berada di PPS berikutan penempatan mereka masih digenangi air disebabkan banjir termenung memandangkan kediaman mereka berada di tempat yang rendah.

“Sehingga petang semalam keadaan banjir di penempatan mereka sudah mulai surut sedikit dan sekiranya keadaan bertambah baik kemungkinan ada di antara mereka yang boleh dibenarkan pulang pada petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail berkata setakat 8 pagi, paras Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 7.89 meter (m) iaitu melepasi paras waspada 7 m dengan trend menurun.



Katanya, trend paras Sungai Golok di Rantau Panjang dilihat semakin menurun dan bertambah baik berbanding bacaan pada petang semalam yang melepasi paras amaran 8.53 m (amaran 8 m).

Di TERENGGANU, situasi banjir juga tidak berubah dengan hanya sembilan orang daripada empat keluarga masih berada di satu PPS setakat 8 pagi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata satu-satunya PPS yang masih beroperasi ketika ini ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang yang menempatkan empat keluarga tersebut.

“Banjir termenung di sekitar kawasan rumah mereka masih belum surut. Mungkin mereka akan lebih lama berada di PPS itu memandangkan pagi ini, Terengganu menerima taburan hujan yang agak lebat,” katanya.



Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di enam daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun yang dijangka berterusan hingga 9 pagi.

Banjir di Terengganu dan Kelantan semakin pulih, cuaca semakin baik

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button