Polis Sibu rampas kiriman kurier berisi dadah bernilai RM55,000 dari Kelantan

08/12/2020 06:12 PM

SIBU, 8 Dis — Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sibu merampas dua bungkusan dipercayai mengandungi dadah bernilai RM55,000 yang dihantar melalui perkhidmatan kiriman kurier dari Kelantan ke Sibu semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata bungkusan yang mengandungi 1.1 kilogram (kg) syabu bernilai RM50,000 dan 2kg ganja bernilai RM5,000 didapati dihantar ke alamat palsu di sini.

“Bungkusan berkenaan dipercayai sampai kira-kira dua bulan lepas dan sejak hari pertama kami memerhatikan siapa yang akan mengambil bungkusan di pejabat perkhidmatan kurier di Jalan Tun Abang Haji Openg.



“Setelah menunggu lama, polis memutuskan untuk memeriksa dan merampas bungkusan yang tidak dituntut kira-kira 1.30 tengah hari semalam,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Aidi, dadah yang dirampas itu berpotensi dibekalkan kepada 3,100 penagih dan polis Sarawak lebih berjaga-jaga dalam mencegah penyeludupan dadah ke negeri itu melalui perkhidmatan kurier.

“Kami juga menyalurkan maklumat yang diperolehi kepada pasukan di Kelantan untuk mereka menjejaki penghantar bungkusan berkenaan dan risikan terus dijalankan bagi mencegah serta melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah melalui perkhidmatan kurier ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Aidi berkata polis berjaya menahan enam individu dipercayai ahli kumpulan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng Apoi dan merampas dadah bernilai RM15,587 pada Ahad.



“Bertindak atas maklumat risikan, kami telah menahan suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan, tiga wanita tempatan dan seorang lelaki warga China berumur antara 18 hingga 39 tahun selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Wawasan pada 9.30 pagi,” katanya.

Ketika serbuan, polis menjumpai beg plastik mengandungi lapan paket lutsinar berisi 6.13 gram (g) serbuk kristal dipercayai syabu, 12 paket plastik dilabelkan Milk Lover mengandungi 410.64g ekstasi dan dua paket plastik dengan tulisan Cina mengandungi 102.34g ekstasi.

Turut ditemukan beg plastik mengandungi 15 paket lutsinar berisi 33.84g syabu, bekas plastik berisi 70 pil ekstasi pelbagai warna dan paket plastik lutsinar mengandungi 24 kerajang timah mengandungi 68.48g Erimin 5.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,556 dan sebuah kereta jenis Perodua Aruz, manakala suspek yang didapati positif Amphetamine/Methamphetamine telah direman selama tujuh hari bermula semalam.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

JKDM Sabah rampas 30 kilogram syabu bernilai RM1.2 juta

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker