MAEPS diaktifkan semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19


Pusat rawatan dan kuarantin COVID-19 di MAEPS, Serdang

09/12/2020 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) diaktifkan kembali sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) namun hanya untuk merawat pesakit bukan warganegara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan membuka semula MAEPS sebagai PKRC MAEPS 2.0 itu dibuat berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 serta pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

MAEPS pertama kali diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April dan ditutup 15 Julai lepas.

“Skop operasi kali ini akan melibatkan pesakit COVID-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan akan hanya menempatkan pesakit bukan warganegara.

“Pengaktifan ini turut melibatkan pemindahan pesakit COVID-19 bukan warganegara dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Sungai Buloh ke MAEPS,” katanya pada sidang media perkembangan berkaitan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sebelum ini, PKRC MAEPS 1.0 berjaya merawat 1,362 pesakit dengan 86 peratus daripadanya bukan warganegara dan baki merupakan rakyat tempatan.

Ismail Sabri berkata memandangkan PKRC MAEPS 2.0 akan menempatkan warganegara asing dalam jumlah yang besar, aspek keselamatan akan dipertingkatkan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *