‘Geng Mizan Gila’ aktif pecah kedai, samun di Kulim tumpas

10/12/2020 08:35 PM

ALOR SETAR, 10 Dis — ‘Geng Mizan Gila’ yang disyaki aktif melakukan kegiatan pecah kedai dan samun di sekitar daerah Kulim sejak pertengahan tahun ini, tumpas susulan penahanan sembilan lelaki dalam beberapa serbuan pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata ketua kumpulan berumur 40 tahun itu ditahan oleh pasukan Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di kawasan Pantai Murni, Yan, pada 5.30 petang, Selasa.

“Pada awal bulan ini, sebanyak dua kes pecah kedai dan satu kes samun telah dilaporkan di Sungai Karangan, Kulim. Bertindak atas maklumat, satu operasi telah dijalankan di sekitar Sungai Petani dan Yan bermula 10 pagi, Selasa sehingga 4 pagi, Rabu.

“Hasil operasi telah berjaya menahan ketua kumpulan serta merampas sebuah kereta jenis Toyota Altis dan beberapa barangan lain yang dipercayai hasil kegiatan jenayah yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azhar berkata polis seterusnya menahan lapan anggota kumpulan berusia antara 19 hingga 45 tahun di sekitar kawasan Sungai Petani serta turut menemukan barang kes bersabit kejadian pecah kedai.

“Siasatan mendapati kumpulan ini telah melakukan lebih 10 kes pecah rumah dan samun di sekitar Sungai Karangan, Padang Serai, Sungai Petani dan Kubang Pasu. Mereka akan melakukan jenayah sekitar jam 2 hingga 6 pagi secara berkumpulan dengan menaiki kereta.

“Ketua kumpulan ini mempunyai 27 rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kes dan kesemua ahli kumpulan itu juga mempunyai rekod jenayah lampau. Dengan penahanan kesemua suspek, kita percaya telah berjaya menumpaskan kegiatan kumpulan ini,” katanya.

Beliau berkata polis merampas sebuah kereta Toyota Altis, sebuah kereta jenis Nissan Sunny dan beberapa barangan hasil daripada jenayah yang dilakukan.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tak Serik-Serik

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker