Atlet Para negara, OKU terima sumbangan Jakel


Presiden OKU Sentral yang juga Pengerusi Bernama Senator Ras Adiba Radzi menyampaikan sumbangan kepada atlet-atlet para pada Program Menyanjung Wira Atlet Para yang berlangsung di Desa Sri Hartamas hari ini. Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) hari ini menerima sumbangan berupa 250 pek barangan keperluan asas daripada Jakel Group untuk diagihkan kepada atlet paralimpik khususnya yang tidak berada di dalam Program Majlis Sukan Negara (MSN). Program ini adalah hasil kerjasama OKU Sentral, MPM, Yayasan Usahawan Negara dan JAKEL Group bagi membantu atlet para yang terjejas akibat Covid-19.

11/12/2020 01:26 AM

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Prihatin dengan nasib atlet para negara serta golongan orang kurang upaya (OKU) yang terkesan akibat COVID-19, Persatuan OKU Sentral dengan kerjasama Kumpulan Jakel dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengadakan Program Menyanjung Wira Atlet Para.

Inisiatif program itu dicetuskan Presiden OKU Sentral Senator Ras Adiba Radzi bersama MPM yang berjaya meyakinkan Kumpulan Jakel untuk memberikan keseluruhan 700 pek barangan keperluaan asas kepada golongan orang kurang upaya dan atlet para negara.



Menurut Ras Adiba yang mewakili komuniti OKU di Dewan Negara, beliau sedih dengan nasib beberapa atlet para negara yang bergelut untuk menyara kehidupan keluarga masing-masing akibat terkesan dengan pandemik berkenaan.

“Ada antara atlet para negara menjadi tulang belakang kepada keluarga masing-masing untuk mencari rezeki. Jadi, dengan elaun disediakan Majlis Sukan Negara, kami bantu lagi dengan sedikit sokongan supaya mereka dapat membantu ahli keluarga mereka yang lain,” katanya selepas program berkenaan, yang turut dihadiri Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Megat Zaharudin di sini hari ini.

Sebagai permulaan, Ras Adiba berkata Persatuan OKU Sentral dan MPM mengedarkan 250 pek barangan keperluan asas kepada atlet para negara pada program itu manakala bakinya akan diedarkan secara berperingkat kepada golongan OKU di sekitar Lembah Klang melalui agensi kerajaan berkaitan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Jakel Mohd Fuad Ahmad berkata program kerjasama sulung syarikat pengeluar tekstil dengan MPM dan OKU Sentral itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dalam membantu golongan memerlukan.



Pada majlis itu, MPM turut melancarkan Van Bergerak MPM bagi menghantar barangan keperluan asas kepada atlet para negara terus ke pintu rumah mereka.

ADIK DISAHKAN POSITIF COVID-19 – RAS ADIBA JALANI KUARANTIN, TUNGGU KEPUTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button