Itali mahu adakan kerjasama erat sebagai rakan pembangunan ASEAN

10/12/2020 10:39 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Itali bersedia menyumbang secara proaktif dalam meningkatkan hubungannya dengan ASEAN menerusi status baharunya sebagai rakan pembangunan kumpulan serantau.

Duta Itali ke Malaysia, Christiano Maggipinto, berkata Itali sangat menghargai peranan ASEAN, dan perkongsian itu akan membuka lembaran baharu untuk kerjasama yang lebih signifikan ke arah perdamaian dan kemakmuran di ASEAN.

Beliau berkata sebagai rakan pembangunan, Itali akan menawarkan pengalaman dan kepakaran meluasnya dalam pelbagai bidang kepada ASEAN, termasuk sains dan teknologi, pemuliharaan warisan, perubahan iklim, perlindungan awam, keselamatan dan memerangi keganasan, serta pembangunan keupayaan.

“Itali telah mengusulkan kepada sekretariat ASEAN pelan tindakan mengenai rancangan yang kami mahu jalinkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN.

“Kami boleh membawa kepakaran dalam pelbagai bidang ke Malaysia dan ASEAN. Contohnya, kepakaran teknologi dalam sektor seperti kejuruteraan, aeroangkasa, dan teknologi hijau,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama.

Itali telah mengemukakan pencalonannya sebagi rakan pembangunan ASEAN pada Februari 2020 dan diberi status tersebut semasa Mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-53 pada September tahun ini.

Maggipinto juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana telah menyokong Itali sejak dari awal pencalonan.

Menurutnya sebagai anggota pengasas Kesatuan Eropah (EU), Itali melihat kepentingan organisasi dan kerjasama serantau, terutama dalam dunia global hari ini – oleh itu, Itali perlu menjalin hubungan lebih erat dengan ASEAN.

“Itali, EU, dan ASEAN, antara lain memiliki nilai kemerdekaan dan berkongsi kemakmuran yang sama, menyelesaian konflik dan kontroversi secara damai, dan multilateralisme.

“Dalam konteks ini, ASEAN dilihat sebagai instrumen yang sangat penting untuk menjamin kestabilan, keamanan, dan kemakmuran di wilayah ini,” katanya.

Menurut Duta itu, Itali akan terus menyokong pemusatan ASEAN yang menekankan multilateralisme dan kerjasama untuk memajukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

Beliau optimis kerjasama itu akan saling menguntungkan, terutama dalam meningkatkan perdagangan dua hala antara ASEAN dan Itali.

Perdagangan antara Itali dan ASEAN ketika pandemik ini jauh lebih baik berbanding perdagangan Itali dengan wilayah lain di dunia. Ini menunjukkan ia berpotensi besar untuk lebih meningkat,” katanya.

Pada 2019, Itali menjadi rakan dagang ke-16 terbesar ASEAN dan keempat di antara negara-negara Eropah.

Dari segi eksport ke ASEAN, ia berada di kedudukan ke-15. Keseluruhan dagangan pada 2019 berjumlah US$22.96 bilion (sekitar RM93.2 bilion), iaitu US$13.3 bilion (RM54 bilion) adalah eksport dan US$9.65 bilion (RM38.6 bilion) adalah import dari Itali.

Leave a Reply