Netanyahu dijadual lawat UAE 23 Dis

Israeli Prime Minister, Benjamin Netanyahu (Photo: Ilia Yefimovich/dpa)

11/12/2020 12:34 AM

MOSCOW, 10 Dis — Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu akan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Emiriah Arab Bersatu pada 23 Disember susulan pemulihan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Menurut laporan akhbar Haaretz pada Khamis, tarikh tersebut juga adalah hari terakhir untuk belanjawan negara itu diluluskan, yang membolehkan Israel mengadakan pilihan raya kali keempat dalam tempoh dua tahun.



Pada penghujung November, media Israel melaporkan pejabat Netanyahu sedang merancang lawatan ke UAE dan Bahrain selepas cuti perayaan Hanukkah dari 10-18 Disember.

Menurut pegawai di pejabat perdana menteri, atas nasihat agensi keselamatan dalam negara Shin Bet, lawatan Netanyahu telah ditangguhkan berikutan masalah keselamatan.

Sekiranya belanjawan – yang menjadi pertikaian utama antara parti pemerintah Likud pimpinan Netanyahu dan pakatan Kahol Lavan (Biru dan Putih) diketuai Menteri Pertahanan Benny Gantz yang juga menjawat jawatan perdana menteri penggiliran – tidak diluluskan pada 23 Disember – parlimen (Knesset) – secara automatik terbubar, lapor agensi berita Sputnik.

Gantz pada awal Disember mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Israel Katz bagi membincangkan masalah tersebut dalam usaha menghindari satu lagi pusingan pilihan raya, tetapi ia dilaporkan tidak berhasil.



Gantz memilih belanjawan dwitahunan untuk 2020 dan 2021, sementara Likud bertegas dengan belanjawan tahunan untuk 2020.

Kerajaan perpaduan itu mengangkat sumpah pada Mei, mengakhiri kebuntuan politik terpanjang dalam sejarah Israel, namun masih belum menemui penyelesaian meskipun tiga pilihan raya telah berlangsung dalam tempoh kurang setahun.

Berdasarkan kesepakatan, Netanyahu akan memimpin kerajaan perpaduan selama 18 bulan sebelum menyerahkannya kepada Gantz pada November 2021.

Ketika Tel Aviv berusaha menangani masalah politik dalamannya, arena antarabangsa menjadi pentas untuknya bergerak apabila Israel menandatangani perjanjian memulihkan hubungan dengan negara Arab termasuk UAE dan Bahrain pada 15 September dengan Amerika Syarikat sebagai negara perantara.



Israel lulus undang-undang hadkan tunjuk perasaan semasa sekatan pergerakan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button