Persatuan sukan kebangsaan saran Skim Pencen diperluaskan

11/12/2020 02:02 AM

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Cadangan pemberian skim pencen diperluaskan kepada atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Parlimen hari ini, mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai persatuan sukan kebangsaan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Megat Zaharudin berkata skim itu tidak seharusnya diperluaskan kepada atlet negara layak ke mana-mana temasya Sukan Olimpik sahaja, sebaliknya turut diberikan kepada atlet para negara yang banyak menyumbang pingat kepada negara di temasya sukan antarabangsa.



“Bukan saya ingin banggakan atau membezakan, tetapi siapa yang banyak bagi pingat dan mengharumkan nama negara? Jadi, tidak kisah atlet normal atau para, harap kerajaan tidak pilih kasih dan saya minta kerajaan lihat perkara ini.

“Jika mahu berbelanja, biar sama rata. Kita patut contohi negara maju, tiada diskriminasi dan tiada ‘double standard’,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Menyanjung Wira Atlet Para oleh Persatuan OKU Sentral dan Kumpulan Jakel kepada MPM di sini hari ini.

Reezal Merican ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat hari ini, berkata KBS akan menimbangkan cadangan supaya atlet negara yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik mendapat skim pencen.

Reezal Merican berkata setakat ini skim pencen hanya layak untuk mereka yang memenangi pingat bagi temasya itu.



Sementara itu Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kenyataan terkini Reezal Merican itu memang tepat pada masanya bagi menaikkan semangat atlet negara yang sedang mengejar tempat di Sukan Olimpik.

“Masanya sudah tiba untuk kita iktiraf usaha gigih mereka dan menghargai pengorbanan bertahun-tahun lamanya dalam kehidupan mereka untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Datuk Jasni Shafie pula melihat cadangan Reezal Merican itu dapat menyemarakkan semangat atlet negara untuk memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditunda pada tahun hadapan akibat pandemik COVID-19.

“Ada atlet dalam beberapa acara memang tidak berpeluang langsung memenangi pingat kerana saingan dan kemampuan berbeza.



“Tetapi pengumuman Menteri Belia dan Sukan ini pasti akan membakar semangat atlet untuk berusaha melakukan terbaik, sekurang-kurangnya melepasi saingan peringkat atau pusingan awal pertandingan,” katanya.

 

Semua program sukan di bawah KBS, agensi, ditangguh hingga 31 Okt – Reezal Merican



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button