Peter Anthony mohon kes dipindah ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu


Datuk Peter Anthony (tengah)

11/12/2020 01:41 AM

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, yang didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E), akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen di sini ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Peguam Mohd Irzan Iswat Mohd Noor yang mewakili Peter, 49, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah diarahkan oleh anak guamnya untuk memfailkan permohonan itu dalam masa terdekat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.



“Permohonan bagi memindahkan kes itu akan difailkan di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah dan pihak kami akan memfailkan permohonan tersebut secepat mungkin,” katanya semasa kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Mohd Irzan berkata anak guamnya tidak hadir ke mahkamah hari ini selepas diberi pengecualian kehadiran kerana menetap di Sabah.

“Pergerakan anak guam saya ke Semenanjung adalah terhad ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lantaran pandemik COVID-19,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya R. Francine Cheryl dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya telah menyerahkan dokumen berhubung kes itu mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak pembelaan hari ini.



Azura kemudian menetapkan 12 Jan tahun depan untuk sebutan kes bagi status permohonan memindahkan kes itu.

Peter didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 11 Julai 2014.

Dokumen itu didakwa mempunyai pernyataan palsu kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E) serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja secara rundingan terus.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Malaysia, Tingkat 5, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 17 Julai 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peter turut didakwa atas pertuduhan alternatif iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Jun lepas, Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu telah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Dia juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun lepas atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah RISDA bernilai RM15,545,400.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker