Hidup 12 juta kanak-kanak di Yaman “bagaikan mimpi ngeri” – UNICEF

Hebahkan !!!

11/12/2020 01:18 PM

NEW YORK, 11 Dis — Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Henrietta Fore, pada Khamis menyatakan kehidupan 12 juta kanak-kanak di Yaman “bagaikan mimpi ngeri”.

“Yaman kini di ambang kemusnahan,” kata Fore dalam satu acara.

“Menghindari kebuluran di Yaman: Apa tindakan kita sekarang dan pada 2021,” katanya yang bimbang terhadap nasib yang terpaksa diharungi kanak-kanak di negara dihimpit perang saudara sejak 2014 itu.

“Ia mungkin tempat paling berbahaya di bumi untuk seorang kanak-kanak. Setiap 10 minit, seorang kanak-kanak meninggal dunia kerana penyakit yang sepatutnya boleh dicegah. Dua juta orang tidak bersekolah dan ribuan lagi terbunuh, cacat atau direkrut sejak 2015.

“Minggu lalu, 11 dilaporkan terkorban termasuk bayi berusia sebulan,” lapor Agensi Berita Xinhua.

Menurutnya, selain menghancurkan ekonomi keluarga, konflik yang tidak berkesudahan itu turut menyebabkan sistem dan infrastruktur sokongan – hospital dan sekolah, hingga sistem air dan sanitasi – menuju kehancuran, diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19.

“Pasukan kemanusiaan PBB berdepan pelbagai kepayahan terpaksa mengharungi pertempuran, sekatan dan halangan birokrasi untuk menyalurkan bantuan kepada jutaan orang yang sangat memerlukan,” katanya.

Tambahnya negara ini juga dibelenggu krisis pemakanan menyaksikan 2.1 juta kanak-kanak tidak dapat zat yang mencukupi termasuk 358,000 daripada mereka berada dalam keadaan yang boleh mengancam nyawa.

Fore menggesa usaha politik yang bersepadu dan proaktif perlu diperkasakan lagi termasuk sokongan global untuk proses damai PBB bagi membantu menyelesaikan kemelut itu.

“Satu-satunya jalan untuk mengakhiri penderitaan dan mimpi ngeri mereka adalah menerusi saluran politik,” ujarnya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: