Isu ajaran Asmaul Husna Wan Maseri’ akan dirujuk pada Majlis Fatwa Kebangsaan


Ahmad Marzuk Shaary

12/12/2020 04:34 PM

KOTA BHARU, 12 Dis — Isu mengenai ajaran ‘Asmaul Husna Wan Maseri’ yang didakwa sebagai menyeleweng daripada Islam, akan dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk dibuat penilaian dan keputusan selanjutnya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Menurutnya perkara itu sebelum ini sudahpun dibangkitkan dan dibincang beberapa kali di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, dalam mesyuarat pasca kabinet.



Jelasnya makluman awal memang ada penyelewengan daripada segi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berkaitan ajaran ‘Asmaul Husna Wan Maseri’ itu.

“Sebagaimana yang kita tahu bagi bidang kuasa setiap kerajaan negeri mereka ada kuasa untuk keluarkan fatwa sesuatu ajaran itu sama ada sesat ataupun tidak. Setakat ini ajaran itu didakwa timbul di Pahang dan fatwa mengenainya sudah dikeluarkan sebagai menyeleweng daripada Ahli Sunnah.

“Selain itu ada beberapa negeri sudah mengambil tindakan sama, termasuk Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Musaadah COVID-19 Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Difahamkan, ajaran yang didakwa diasaskan oleh Profesor Dr Wan Maseri Wan Ahmad itu, kini juga sudah difatwakan sebagai sesat dan menyesatkan di Terengganu, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.



Ahmad Marzuk berkata, pihaknya mahu menasihatkan kepada masyarakat yang tidak mengetahui dengan sepenuhnya tentang sesuatu fahaman yang dibawa dalam konteks pengajaran, supaya berhati-hati.

Individu yang dikatakan membawa ajaran ini juga bukan lagi ahli PAS dan sudah dipecat, walaupun sebelum ini pernah menjadi calon dalam pilihan raya,” katanya.

Mengulas lanjut, setakat ini Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Bahagian Akidah di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sudah diamanahkan untuk laksanakan perkara sama untuk dapatkan maklumat lebih lengkap daripada individu berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker