Celine ukir nama bersama pasukan Bayern Munich
Kredit: FB Football Association of Malaysia
11/12/2020 08:04 PM
KUALA LUMPUR, 11 Dis — Pemain pasukan Bawah 15 Tahun (B-15) kebangsaan, Celine Chuang membuktikan bahawa tiada rintangan untuk mencipta sejarah menjadi pemain bola sepak wanita pertama beraksi bersama kelab profesional Jerman, FC Bayern Munich.
Pemain sayap berusia 15 tahun itu, yang beraksi bersama skuad kedua B-17 wanita FC Bayern Munich sejak Julai lalu, berkata minatnya dalam sukan itu tercetus selepas menyaksikan adik-beradiknya bermain bola sepak.
Memulakan latihan secara serius empat tahun lalu bersama Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB), Pulau Pinang dan disertai dengan keinginan yang kuat untuk meningkatkan prestasinya, Celine mengambil keputusan untuk mendaftar dan menjalani latihan di British International School Phuket (BISP) di Thailand selama dua tahun sebelum berpindah ke Munich.
“Apa yang amat saya suka mengenai sukan ini adalah taktik dan teknik baharu yang saya pelajari semasa latihan. Bermain bola sepak membantu saya mengekalkan kesihatan minda apabila berdepan dengan tekanan.
“Latihan semasa di Malaysia menjadi asas. Saya banyak mempelajari tentang asas bola sepak. Di Thailand, intensiti latihannya adalah lebih tinggi kerana saya perlu berlatih tujuh kali seminggu di bawah program Akademi Cruzeiro,” kata Celine melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kehidupan pemain muda itu berubah apabila keluarganya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Jerman, serta mengikuti jejak abangnya untuk melanjutkan pelajaran di Munich.
Celine turut berkongsi cita-cita yang sama seperti abangnya, selain mempunyai keinginan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Jerman dan mengimpikan masa depan yang cerah.
Bercita-cita untuk menjadi pemain profesional dalam Bundesliga (Liga Jerman) dan Piala Dunia, Celine mengambil keputusan berani untuk menghadiri sesi pemilihan bersama kelab Bavaria itu pada Februari lalu.
“Segala usaha saya selama ini ternyata membuahkan hasil apabila saya terpilih sebagai salah seorang daripada 10 pemain untuk menyertai skuad kedua wanita B-17 FC Bayern Munich. Saya sangat bersyukur apabila telah diberi peluang untuk menjalani latihan dan beraksi bersama skuad lelaki FC Wacker München e.V,” tambah beliau.
Berkongsi pengalaman sepanjang empat bulan berlatih di Jerman, Celine menyatakan bahawa beliau perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri berlatih dalam cuaca sejuk dan perbezaan bahasa .
“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, masyarakat di sini sangat ramah dan mengalu-alukan kedatangan saya sejak dari awal. Hal inilah membuatkan saya dapat menyesuaikan diri sejak tiba dan menetap di Jerman pada Jun. Saya kini menjalani latihan dalam talian selepas pertandingan dan liga dibatalkan akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Celine mula mendapat perhatian komuniti bola sepak Jerman selepas menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 FC Wacker Munchen e.V. dan satu lagi gol bersama pasukan kedua skuad B-17 wanita FC Bayern Munich dalam dua liga rasmi Jerman.
Sebelum ini, beliau menjaringkan gol antarabangsa pertamanya untuk pasukan kebangsaan semasa beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Wanita B-15 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada 2019 selepas menewaskan Kemboja 2-1 di Chonburi, Thailand.