Kerjasama MN berasaskan parti, bukan kumpulan tertentu – Hadi Awang


Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Gambar fail)

13/12/2020 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Kerjasama di antara PAS dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) adalah berdasarkan parti, bukannya berasaskan pengaruh kumpulan-kumpulan tertentu, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Justeru katanya PAS tidak ambil peduli kenyataan serta dakwaan yang dilontarkan pemimpin atau kumpulan tertentu dalam UMNO berhubung masa depan kerjasama dua parti itu.

Beliau berkata setiap keputusan berhubung hala tuju dan kerjasama politik dibincangkan dan diputuskan dengan kepimpinan rasmi UMNO.

“PAS mengadakan kerjasama dengan UMNO dalam MN atas sifat parti, bukan kumpulan-kumpulan.

“Sebab itu kita tak perlu mengambil kira (dakwaan) kumpulan-kumpulan. Pertemuan yang kita buat adalah pimpinan yang rasmi dalam UMNO, (setakat) kumpulan kita tak terima,” katanya pada sesi dialog bersama media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita mengenai dakwaan wujud kumpulan atau gerakan dalam UMNO yang cuba menggugat kerjasama MN.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata surat permohonannya untuk menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah dipersembahkan kepada Istana Perak.

“… (surat) sudah diterima (Istana Perak) dan sudah dijawab. Saya tak perlu beri tarikhnya (menghadap Sultan Perak)… tiba masa kita akan menghadap,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 113 sokongan ahli Parlimen termasuk 10 daripada UMNO, Abdul Hadi berkata desas-desus melibatkan sokongan terhadap Presiden PKR itu bukan sesuatu yang baharu.

Justeru katanya PAS tidak akan membuat keputusan selagi tidak mengetahui kedudukan sebenar dakwaan itu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker