Tiga cedera dalam kemalangan libatkan 11 kenderaan


SESAK… Aliran trafik di laluan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Kuala Lumpur dilihat sesak berikutan terdapat kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 261.9 manakala laluan menuju ke Melaka dan Johor bergerak lancar di kawasan tersebut hari ini. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

13/12/2020 08:09 PM

SEREMBAN, 13 Dis — Tiga orang cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kereta di Kilometer (km) 261.9 Lebuhraya Utara Selatan ( PLUS) pada kira-kira 3.20 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Superintenden Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata kemalangan yang membabitkan pelanggaran di bahagian belakang antara kereta lain di lorong kanan itu telah menyebabkan kesesakan sejauh 12 km.

“Kesemua kereta terlibat telah berjaya dialihkan dan lalu lintas di lebuh raya tersebut dilaporkan kembali lancar.

“Susulan kemalangan itu, dua wanita dan seorang lelaki yang merupakan pemandu kereta mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan.

“Bagaimanapun, butiran lengkap kesemua mangsa masih belum diperoleh,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu telah membuat laporan di Balai Polis Trafik Seremban.

Katanya siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada kira-kira 3.10 petang yang membabitkan kira-kira 20 mangsa termasuk wanita.

Beliau berkata lapan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban telah bergegas ke lokasi kemalangan sejurus menerima panggilan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker