15 keluarga Orang Asli lari ke hutan kembali ke kediaman

14/12/2020 05:02 PM

JOHOR BAHRU, 14 Dis — Kesemua 15 keluarga Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Simpang Arang di Iskandar Puteri, dekat sini, yang melarikan diri ke hutan bakau berhampiran kerana takut dijangkiti COVID-19 pada 8 Dis lepas, kembali ke kediaman masing-masing sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Kota Iskandar Pandak Ahmad berkata lima keluarga pulang ke kediaman mereka semalam manakala bakinya hari ini.

Kesemua Orang Asli itu lari ke hutan setelah mendapat tahu mengenai guru agama di kampung mereka disyaki positif virus berkenaan.

Beliau berkata satu perbincangan diadakan malam tadi bersama penduduk kampung, Tok Batin Noore Kasi, pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan guru agama itu yang telah disahkan negatif COVID-19.

Surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang menyatakan guru agama itu negatif COVID-19 turut dibawa sebagai bukti semasa perbincangan itu, katanya.

“Perbincangan malam tadi, pada dasarnya mereka setuju untuk pulang semula dan mengakui bahawa ia hanyalah berita palsu.

“Malah, mereka juga telah meminta maaf kepada guru agama berkenaan…begitu juga guru agama itu yang turut minta maaf kepada mereka,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Jumaat lepas, Pandak berkata pihaknya terus memujuk sekumpulan Orang Asli itu untuk kembali ke kediaman mereka kerana kawasan di hutan terbabit yang didiami kira-kira 40 orang termasuk kanak-kanak dan bayi itu didapati tidak selamat kerana terdapat haiwan liar seperti ular.

Faktor cuaca juga menyebabkan khemah sementara dan bangsal yang mereka dirikan didapati tidak sesuai dan selamat untuk diduduki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *