Polis rampas 12,000 biji pil kuda di Tanah Merah
14/12/2020 03:40 PM
TANAH MERAH, 14 Dis — Polis menahan dua lelaki dan merampas 12,000 biji pil kuda bernilai RM120,000, dalam dua kes berasingan di Kampung Bukit Gading dan Jalan Wan Ahmad di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Tanah Merah DSP Zainuddin Md Yusuf berkata dalam kes pertama, bertindak atas maklumat dan risikan, polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di tepi sebatang jalan di Kampung Bukit Gading pada pukul 3.15 petang.
“Polis menemukan kenderaan yang dinaiki suspek berhenti di tepi jalan dan selepas anggota memperkenalkan diri sebagai anggota polis, suspek didakwa cuba membuang sesuatu daripada tangan kanannya, selain mahu melarikan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.
Zainuddin berkata selepas berlaku pergelutan, suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menjumpai 8,000 biji pil kuda dengan nilai anggaran RM80,000 serta menyita kenderaan yang digunakan.
“…turut ditemukan wang tunai RM500 dan semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau. Ujian saringan awal polis mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya.
Sementara, dalam kes berasingan pada hari sama, polis yang bertindak atas risikan yang dijalankan, menahan seorang lelaki berumur 21 tahun pada 6.45 petang dan menemukan 4,000 biji pil kuda di dalam poket seluar yang dipakai suspek.
“Suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap oleh anggota kami dan pemeriksaan menemukan satu plastik cerah berisi bungkusan kertas yang dibalut.
“Di dalam bungkusan tersebut pula terdapat 10 paket plastik warna biru dan berikat dengan gelang getah. Apabila diperiksa, kami jumpa pil kuda sebanyak 4,000 biji bernilai RM40,000,” katanya.
Menurut Zainuddin, suspek tiada rekod lampau namun ujian saringan awal mendapati suspek positif Methamphetamine.
“Kedua-dua kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga 18 Dis ini,” katanya.