BILA AIN EDRUCE BELIKAN SUAMI PIANO RM20,000 SEMPENA ANNIVERSARY PERTAMA
Sempena ulang tahun perkahwinan pertama baru-baru ini, pengacara dan pelakon Ain Edruce telah membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah piano bernilai RM20,000 untuk suaminya, Amirul Hafiz Mustaffa. Momen kejutan tersebut dikongsi Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce, 28, menerusi sebuah video dalam saluran YouTubenya semalam.
Dalam video tersebut, Amirul dilihat terkejut dengan hadiah yang diterima sehingga mencetuskan tanda tanya bagaimana isterinya membawa masuk piano tersebut ke tingkat satu kediaman mereka. Gelagat Amirul ketika menerima kejutan daripada isterinya.
“Sayang, saya ada hadiah untuk awak di atas. Gembira tak? Saya beli hadiah ini supaya awak dapat belajar bermain piano dan buktikan saya bukan berpura-pura pandai selama ini,” katanya dalam video tersebut.
Bagaimanapun, Amirul memberitahu hadiah tersebut bukan untuk dirinya tetapi akan menjadi milik Ain kerana dia tidak pandai bermain piano: “umpahlah awak beli piano ini? Macam mana boleh bawa naik ke atas? Ini bukan untuk saya tapi hadiah awak (Ain). Ini tidak adil,” ujarnya.
Klik untuk gambar besar
Ain ketika dihubungi itu mengesahkan nilai piano tersebut dan memberitahu tujuannya membeli alat muzik itu adalah untuk kegunaan bakal cahaya mata sulung mereka pada masa akan datang.
“Insya-Allah kalau usia piano ini panjang, saya memang bercadang untuk mengajar dan menghantar anak mengikuti kelas piano,” katanya ringkas.
Meninjau dalam ruangan komen, rata-rata terhibur dengan gelagat pasangan suami isteri itu dan reaksi Amirul ketika melihat hadiah tersebut.
Terdahulu, Ain dan Amirul mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2019 dan kini pengacara program Immortal Song itu sedang hamil empat bulan.