Cafe bertema penjara beri sinar baharu untuk bekas banduan

15/12/2020 06:52 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

AYUTTHAYA (Thailand), 15 Dis — Aroma kopi segar memenuhi ruang kafe ketika Pananyu mula membancuh cappuccino sementara rakannya menyediakan latte di Cook & Coff, kafe bertemakan penjara yang terletak di ibu kota Ayutthaya, utara Bangkok.



Lengkap dengan kemeja-T putih dan berseluar pendek khaki, Pananyu, 24, sudah hampir setahun menjadi barista di kafe itu ketika menjalani hukuman di Penjara Pusat Ayutthaya kerana kesalahan dadah.

Namun, akhir tahun lalu beliau terpilih menjalani latihan membuat kopi kerana berkelakuan baik.

“Program ini membantu bekas banduan memulakan hidup baharu. Ia memberi saya harapan dan perspektif berbeza mengenai kehidupan.

“Saya ingin menggunakan kemahiran yang dipelajari di sini untuk melakar kejayaan dalam hidup saya selepas dibebaskan. Saya mahu kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi orang yang lebih baik,” katanya kepada Bernama.



“Saya telah melakukan kesilapan dan menanggung akibatnya. Kini, saya mahu memulakannya kembali. Saya harap masyarakat akan memberi peluang kedua terhadap bekas banduan,” katanya.

Bagi Napachan,37, pula beliau tidak sabar untuk memulakan kehidupan baharu.

“Daripada duduk menung sahaja di sel, program ini memberikan pengalaman kerja baharu kepada banduan yang bakal dibebaskan untuk memastikan kami dapat kembali ke pangkuan masyarakat tanpa masalah.

“Saya bercadang untuk membuka kafe selepas saya dibebaskan dan menjana pendapatan untuk menyara keluarga. Saya berharap dapat melakukan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.



Cook & Coff dibuka pada 2018 melalui inisiatif Jabatan Pemulihan untuk melatih, latihan semula dan juga memberikan latihan pekerjaan untuk tahanan.

Pengunjung berpeluang menikmati makan malam di dalam sel. Di dalamnya, terdapan papan tanda yang dipenuhi dengan pesanan berbentuk dorongan daripada pengunjung kepada tahanan.

Pegawai Chatchai Rompo, yang bertanggungjawab dalam program latihan di Penjara Pusat Ayutthaya, mengatakan kafe itu menyediakan kemahiran pekerjaan untuk tahanan yang bakal dibebaskan.

Ia bertujuan mempersiapkan mereka untuk menjalani kehidupan normal dalam masyarakat.



Menurutnya tahanan yang berkelakuan baik dan telah menjalani hukuman mereka di penjara untuk jangka waktu tertentu akan mendapat peluang mempelajari kemahiran baharu untuk pekerjaan di masa depan dan memulakan kehidupan baharu.

“Ia juga membantu mengurangkan kadar mereka kembali melakukan kesalahan selepas dibebaskan,” katanya.

Setelah melalui proses pemilihan yang ketat oleh panel khas, tahanan terpilih akan menjalani latihan, termasuk kemahiran membuat kopi dan masakan serta melayani pelanggan, bertujuan membantu mereka meningkatkan keyakinan diri dan kemampuan membuat keputusan.

Chatchai berkata, cafe itu kini menjadi satu daripada tarikan pelancongan ke Ayutthaya.



Selain kafe, terdapat restoran dikendalikan tahanan wanita yang dibuka akhir tahun lalu, dan Jabatan Pemulihan juga bekerjasama rapat dengan kafe serta restoran untuk menggaji bekas tahanan.

“Bekas banduan juga layak diberi peluang kedua untuk mendapat pekerjaan yang baik,” katanya.

Tiga yang positif dari sel sama banduan meninggal dunia – Penjara Reman



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button