Insiden penggodaman, Penasihat Keselamatan AS singkatkan lawatan

16/12/2020 12:24 PM

WASHINGTON, 16 Dis — Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Robert O’Brien menyingkatkan lawatannya di Eropah dan pulang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menangani insiden penggodaman baru-baru ini yang menyasarkan beberapa agensi persekutuan, lapor Agensi Berita Sputnik.

“Duta Besar O’Brien kembali untuk menangani insiden penggodaman,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Ullyot dalam satu kenyataan, seperti dipetik Wall Street Journal pada Selasa.

Laporan itu mengatakan O’Brien akan mengadakan mesyuarat pada Selasa petang dan Rabu pagi diikuti pertemuan dengan pihak peringkat tinggi akhir minggu ini.

Beliau dijadualkan pulang pada Sabtu. Selepas menamatkan lawatan ke Israel dan Perancis, beliau dijadual ke Itali, Jerman, Switzerland dan United Kingdom minggu ini.

Pada Ahad, media AS melaporkan kumpulan penggodam yang didakwa disokong pemerintah asing telah mencuri data Jabatan Perbendaharaan dan Pentadbiran Telekomunikasi dan Maklumat.

The Washington Post melaporkan kumpulan penggodam APT29, juga dikenali sebagai “the Dukes” atau “Cozy Bear,” dikatakan mempunyai kaitan dengan kerajaan Rusia, dalang di sebalik insiden itu tetapi tidak menunjukkan bukti dakwaan tersebut.

Kumpulan penggodam dilaporkan mendapat akses dengan menjejaskan perisian SolarWinds yang berpangkalan di Texas. Syarikat ini menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat jarak jauh di seluruh dunia, termasuk beberapa agensi kerajaan dan tentera AS.

Kedutaan Rusia di AS menyatakan laporan media Amerika yang menuduh penglibatan penggodam Rusia ke atas serangan siber itu sebagai tidak berasas.

Serangan penggodam kian canggih, ancam lebih banyak teknologi – Pakar IT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker