Kerajaan UK bakal tetapkan peraturan baharu untuk syarikat media sosial

15/12/2020 05:28 PM

LONDON, 15 Dis — Pengawal selia telekomunikasi United Kingdom, Ofcom, akan diberi kuasa untuk memastikan firma teknologi bertanggungjawab melindungi orang ramai daripada kandungan berbahaya seperti ancaman, keganasan, bunuh diri, buli siber dan penderaan kanak-kanak apabila rang undang-undang (RUU) baharu dibentangkan di Parlimen tahun depan, lapor Agensi Berita Sputnik.

Di bawah RUU Keselamatan Dalam Talian baharu itu, media sosial, laman web, aplikasi dan perkhidmatan lain yang gagal mengeluarkan dan mengehadkan penyebaran kandungan berbahaya akan dikenakan denda sehingga £18 juta (AUS$24 juta) atau sepuluh peratus daripada perolehan tahunan global mereka.



“Kami mahu pengguna internet mendapat perlindungan yang sepatutnya dan bekerjasama dengan syarikat untuk mengatasi beberapa penyalahgunaan yang timbul di web. Kami tidak akan membenarkan penderaan seksual kanak-kanak, bahan pengganas dan kandungan berbahaya lain dimuat naik di platform dalam talian. Syarikat teknologi mesti mengutamakan keselamatan awam atau perlu menanggung akibatnya,” kata Setiausaha Dalam Negeri Priti Patel pada Selasa.

Setiausaha Digital Oliver Dowden berkata dengan pengenalan peraturan baharu itu, UK menetapkan standard global untuk keselamatan dalam talian.

“Saya tanpa ragu menyokong teknologi tetapi itu tidak bermakna ia bebas untuk semua perkara,” katanya.

Peraturan baharu itu memerlukan setiap syarikat yang menjadi hos kandungan dalam talian yang dapat diakses oleh pengguna di UK, atau membolehkan mereka berinteraksi dengan pengguna lain secara dalam talian, akan meletakkan setiap syarikat di bawah tanggungjawab berbeza mengikut kategori.



Platform media sosial seperti Facebook, Tik Tok, Instagram dan Twitter, misalnya, akan berada di bawah Kategori 1, iaitu mereka perlu menilai risiko kandungan atau aktiviti undang-undang pada perkhidmatan mereka dengan “risiko yang boleh dijangka menyebabkan bahaya fizikal atau psikologi kepada orang dewasa ”.

Mereka juga perlu memastikan pengguna mudah untuk membuat laporan mengenai kandungan atau aktiviti berbahaya, dan perlu telus menerbitkan laporan mengenai langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi bahaya dalam talian.

Kategori 2 pula untuk platform perkhidmatan temu janji atau pornografi dan aplikasi pesanan peribadi.

Kerugian kewangan seperti penipuan dan penjualan barang yang tidak selamat akan dikecualikan daripada kerangka ini untuk mengelakkan pertindihan dengan peraturan sedia ada.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button