Turki bantah sekatan AS

ANKARA, 15 Dis — Speaker parlimen Turki pada Isnin membantah sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu kerana pembelian sistem pertahanan peluru berpandu, lapor Agensi Anadolu.

“Mengenakan sekatan tidak mematuhi semangat sekutu atau kehendak untuk bersekutu,” kata Mustafa Sentop di Twitter.

“Pemahaman bahawa Turki wajib mendapatkan peralatan industri pertahanan hanya daripada mereka adalah lapuk. Kami akan terus mengambil setiap langkah yang diperlukan untuk pertahanan negara kita, ” katanya.



Jabatan Perbendaharaan AS pada Isnin mengenakan sekatan terhadap Turki kerana pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 Rusia.

Sekatan itu, yang berada di bawah undang-undang dikenali Akta Menangani Musuh Amerika Melaui Sekatan (CAATSA), menyasarkan Industri Pertahanan Turki (SSB), termasuk ketuanya Ismail Demir dan tiga pegawai lain.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dalam satu kenyataan berkata SSB dengan sengaja melakukan transaksi penting dengan Rosoboronexport, entiti eksport senjata utama Rusia, dengan mendapatkan sistem peluru berpandu S-400.

“Sekatan itu termasuk larangan semua lesen dan kebenaran eksport AS ke SSB dan pembekuan aset dan sekatan visa ke atas Presiden SSB Dr. Ismail Demir, dan pegawai SSB yang lain,” tambahnya.



Kementerian Luar Negeri Turki mengutuk keputusan sekatan itu.

“Kami mengecam dan menolak keputusan untuk mengenakan sekatan sepihak terhadap Turki seperti yang diumumkan hari ini oleh AS dalam konteks pemerolehan sistem pertahanan udara S-400 oleh Turki,” memetik kenyataan kementerian.

Presiden Donald Trump pada Jun 2019 berkata, bekas presiden Barack Obama, telah bertindak tidak adil terhadap Turki ketika Ankara mahu membeli sistem pertahanan peluru berpandu Patriot AS.

Sebelum keputusan pada Isnin itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata sekutunya AS sepatutnya menyokongnya, bukan mengenakan sekatan.



Turki nafi tembak jatuh pesawat perang Armenia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button