Bahrain antara negara terawal nikmati liputan 5G meluas

16/12/2020 08:37 PM

MANAMA, 16 Dis — Liputan 5G di Bahrain kini sudah mencapai 95 peratus dan pencapaian itu menjadi tonggak penting memacu negara ini ke arah penyediaan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kata Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi Kamal Ahmed Mohammed.

“Ia termasuk persediaan untuk meningkatkan perkhidmatan ICT generasi mendatang seperti internet benda, komunikasi mesin ke mesin dan kemunculan teknologi baharu.

“Pencapaian ini juga mengukuhkan kedudukan Bahrain sebagai sebuah negara yang menikmati infrastruktur telekomunikasi tetap dan tanpa wayar yang mantap dan mudah diakses. Ia juga sebahagian usaha menyatukan ekonomi digital kerajaan, pengembangan proses transformasi digital di semua sektor, dan sektor baharu seperti kecerdasan buatan.



“Ia seharusnya membolehkan sektor komunikasi dan teknologi maklumat menyokong pertumbuhan yang lebih baik di semua sektor ekonomi dan meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Agensi Berita Bahrain (BNA).

Beliau menekankan pentingnya memperkukuh infrastruktur komunikasi pintar dan mewujudkan peraturan yang akan mendorong inovasi dan pelaburan di sektor telekomunikasi, ketika Bahrain hari ini menjadi antara negara pertama yang menyediakan perkhidmatan 5G pada skala besar di peringkat tempatan di dunia.

“Kami terus berusaha untuk memastikan bahawa Kerajaan Bahrain mempertahankan kedudukannya di antara peneraju global dalam sektor penting ini,” tambahnya.

Indeks Pembangunan ICT Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (IDI) meletakkan Bahrain sebagai peneraju dunia Arab dan ke-31 di peringkat global, mencerminkan kemajuan penting yang telah dicapai oleh Bahrain dalam sektor ini sejak liberalisasi sektor telekomunikasi.



Sektor telekomunikasi di Bahrain menarik jumlah pelaburan sebanyak BD 787 juta (lebih US$2 bilion) antara 2009 dan 2019 dan menyumbang tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019.

— BERNAMA

MCMC komited tingkat kemudahan telekomunikasi di perkampungan orang asli

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker