Projek mega Guizhou bantu jayakan pembasmian kemiskinan di China

16/12/2020 03:22 PM

Oleh Satria Zhang

BEIJING, 16 Dis — Filem dokumentari BBC telah memperkenalkan Jambatan Beipanjiang di sempadan wilayah Yunnan dan Guizhou sebagai jambatan tertinggi di dunia.



Antara 100 jambatan tertinggi di dunia, kira-kira 80 daripadanya berada di China dan kebanyakannya di wilayah Guizhou.

Satu persoalan, mengapa begitu banyak jambatan tinggi dibina di Guizhou?

Kalau anda buka peta dan cari wilayah Guizhou, anda boleh dapati ia terletak di barat daya China, iaitu 92 peratus kawasannya merupakan pergunungan.

Meskipun Guizhou kaya dengan sumber alam, kekurangan jaringan pengangkutan telah membantutkan pembangunan tempatan.



Banyak kampung bahkan bandar terletak di kkawasan atau lembah gunung, jika mahu menggunakan jalan sedia ada, penduduk tempatan perlu melalui jalan yang berliku-liku dan memakan masa yang panjang.

Antara lebuh raya yang sedang dibina di Guizhou, terdapat satu projek yang sebahagian segmennya diusahakan oleh 37 pekerja dari daerah Congjiang.

Congjiang merupakan daerah terakhir di Guizhou yang bersambung dengan jaringan jalan.

Dulu penduduk tempatan pernah cuba membina jalan untuk kampung sendiri secara sukarela dengan menggunakan batu gunung.



Beberapa tahun lalu, Jabatan Pengangkutan Guizhou diberi tugas membantu Congjiang membasmi kemiskinan.

Ramai penduduk tempatan dilatih untuk terlibat dalam projek pembinaan jalan di kampung sendiri.

Jika dulu, perjalanan penduduk Congjiang mengambil masa dua hari untuk ke ibu kota Guizhou. Kini ia dapat dipendekkan kepada 1.5 jam dengan menaiki kereta api laju, dan empat jam kalau menggunakan lebuh raya.

Bukan hanya hasrat penduduk tempatan menyumbang kepada pembangunan kampung halaman menjadi kenyataan, rezeki mereka juga terjamin.



Selepas projek di Congjiang selesai, mereka menjadi pekerja mahir dan terlibat dalam lebih banyak projek untuk memajukan infrastruktur di Guizhou.

Ini memperlihatkan kesungguhan di peringkat akar umbi hingga ke kerajaan untuk memperbaik keadaan pengangkutan.

Pembinaan infrastruktur memerlukan peruntukan yang tinggi, khususnya di Guizhou jika mahukan perubahan besar dilihat.

Ia bukanlah perkara mudah untuk melaksanakan agenda untuk membina lebuh raya atau landasan kereta api dari satu bandar ke bandar lain.



Banyak kesukaran dan tugas getir perlu diharungi terutamanya untuk membina terowong yang merentasi gunung-ganang dan jambatan menyeberangi kawasan lembah.

Sepuluh tahun lalu, Guizhou telah memperuntukkan 800 bilion yuan (RM500 bilion) untuk projek pembinaan infrastruktur.

Kini, kos pembinaan lebuh raya di wilayah itu sepanjang 7,600 kilometer, meningkat empat kali ganda.

Ia termasuk landasan kereta api sejauh kira-kira 4,000 kilometer merangkumi 1,500 kilometer landasan kereta api laju.



Peruntukan besar turut menjana pembangunan yang pesat.

Untuk rekod, Guizhou merupakan antara tiga wilayah yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi terpesat di China dalam lapan tahun lalu dan tahun lepas berjaya menduduki tempat pertama.

China telah menyempurnakan matlamat pembasmian kemiskinan pada era baharu ini seperti dijadualkan. Lebih lima juta penduduk miskin Guizhou kini berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan dan menikmati kehidupan yang bahagia.

Kira-kira 50 jambatan di Guizhou tersenarai antara 100 jambatan tertinggi dunia bukanlah untuk memecahkan rekod Guinness, tetapi menjadi simbol komitmen Guizhou dan China untuk mengatasi pelbagai kesukaran dalam pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

China mahu bersama dunia basmi kemiskinan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button