ABK 2020 diadakan secara maya, penyokong berpeluang mengundi – MFL

19/12/2020 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan menganjurkan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual pada 30 Dis sebagai acara penutup kalendar Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata ABK20 Virtual diadakan secara maya selaras dengan saranan kerajaan yang menggalakkan penjarakan sosial dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan pandemik COVID-19.

Katanya, MFL selaku badan pentadbir Liga-M sentiasa berusaha memastikan kerja keras pemain dan jurulatih dihargai selain penganjuran ABK20 Virtual turut sebagai pengiktirafan kepada penyokong bola sepak tempatan.



“Umum mengetahui perjalanan kalendar bola sepak Malaysia tahun ini tidak berjalan sebaiknya terutama penyokong tidak dibenarkan ke stadium ketika saingan Liga-M berlangsung disebabkan pandemik COVID-19.

“Jadi MFL tidak mahu elemen penyokong diketepikan maka bagi ABK20 Virtual ini, mereka telah diberikan peranan untuk mengundi pemain kesayangan mereka. Ini kali pertama penyokong diberikan kuasa untuk mengundi,” katanya.

Pada ABK20 Virtual, penyokong diberikan peranan dalam pemilihan awal melibatkan seramai 344 pemain yang layak diundi dalam kategori masing-masing dan hasil pengundian itu akan dikira bersama pengundian juri profesional terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Sebanyak 10 pemain terbaik bagi setiap kategori iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik akan diumumkan esok.



Pemenang akan ditentukan berdasarkan undian juri profesional yang menyumbang 70 peratus sementara baki 30 peratus akan ditentukan peminat menerusi undian yang akan mula dibuka selama lima hari bermula Ahad ini.

Sementara itu, Ab Ghani mengesahkan Anugerah Pasukan Terbaik turut disenaraikan dalam ABK20 Virtual.

Dalam pada itu, beberapa anugerah tidak dipertandingkan pada penganjuran kali ini.

Antaranya, anugerah Pemain Muda Harapan, Pemain Import Terbaik, Pemain ASEAN Terbaik, Penyokong Terbaik, Pemain Paling Popular, Laman Web Terbaik dan Media Sosial Terbaik.

Karnival Usahawan Desa tawar jualan secara maya

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker