Beri Yusri peluang – Azman Adnan


Yusri Che Lah

19/12/2020 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Bekas penyerang skuad kebangsaan Azman Adnan menggesa semua pihak memberikan sokongan kepada ketua jurulatih Skuad Projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara Yusri Che Lah dalam melaksanakan tugasnya.

Beliau percaya pemilihan Yusri, 44, diputuskan selepas melalui proses penilaian teliti dalam usaha FAM serta MSN memastikan kemajuan skuad muda itu yang bakal dibarisi 30 graduan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari.



Mengakui setiap pemilihan ketua jurulatih mempunyai risiko berbeza, legenda pasukan Selangor itu berkata Yusri terlebih dahulu wajar diberikan peluang membuktikan keberkesanan pendekatan yang bakal diterap dalam membimbing pasukan ketika menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

“Untuk pemilihan Yusri ada kelebihan dan kekurangan, ada sesetengah pihak suka ada yang tidak suka. Tetapi bagi saya beliau telah dipilih jadi bagilah beliau peluang dan sama-sama kita pantau macam mana beliau merencanakan pemain muda.

“Kalau kata beliau tidak berjaya, kita tukar ganti dengan individu lain. Tetapi yang penting jangan terlalu awal (menghukum), kita belum cuba tetapi sudah bercakap. Jadi kita beri dia peluang dulu,” katanya pada sidang media majlis pelancaran jenama produk pakaian Azman Adnan di sini, hari ini.

Sebelum ini, legenda bola sepak tanah air Khalid Ali mendakwa struktur pentadbiran dan kejurulatihan pasukan tersebut diisi individu tidak berkelayakan, dipercayai merujuk kepada pelantikan Yusri, malah tidak mempunyai pengetahuan tinggi dan berpengalaman luas dalam soal pembangunan bola sepak.



Namun, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin tampil mempertahankan keputusan pelantikan Yusri sementara Penolong Pengarah Teknikal FAM Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kecenderungan mengetengahkan bakat muda menjadi antara faktor pemilihan bekas pemain kebangsaan dan Perlis itu.

Yusri memulakan kerjaya selaku jurulatih pada 2009 dan berpengalaman membawa skuad Perlis dalam saingan Piala Presiden serta Sukan Malaysia, pasukan MyKids dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Felcra FC, Kuala Lumpur dan Kelantan.

Beliau turut memiliki 42 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan dari 1997 hingga 2002 selain pernah beraksi untuk pasukan Perlis, Selangor dan Perak sebelum bersara pada 2007.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker