MOM berterima kasih gelembung sukan diluluskan


Majlis Olimpik Malaysia (MOM)

19/12/2020 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengalu-alukan keputusan kerajaan yang membenarkan pembukaan semula industri sukan dengan konsep gelembung sukan.

Menurut MOM dalam kenyataan hari ini, keputusan mengenai konsep gelembung sukan itu menjadi antara pengumuman yang paling ditunggu-tunggu oleh semua komuniti sukan.

“MOM sangat berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan kerana mengambil kira kekangan industri sukan namun pada masa sama, mempertimbangkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“MOM berharap semua peminat dan komuniti sukan akan menerapkan kebiasaan baharu terhadap aktiviti sukan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini pada Mesyuarat Majlis Eksekutif yang lepas, MOM dan ahlinya menggesa Kementerian Belia dan Sukan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) untuk industri sukan khususnya dalam membenarkan semula kejohanan tempatan diadakan serta sukan bersentuhan dan rekreasi.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju secara prinsip untuk membenarkan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi termasuk sukan air secara berperingkat bermula Januari 2021, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagi negeri di bawah PKP Pemulihan (PKPP), maksimum 4,000 penonton atau 10 peratus daripada kapasiti tempat duduk akan dibenarkan.

Sementara negeri di bawah PKP Bersyarat (PKPB) pula, perlawanan akan diadakan tanpa penonton bagaimanapun aktiviti itu tidak dibenarkan di negeri di bawah PKPD.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker