Atlet olahraga para di landasan terbaik hadapi Paralimpik Tokyo
21/12/2020 10:35 PM
KUALA LUMPUR, 21 Dis — Selepas mengharungi beberapa kejohanan simulasi dan menjalani latihan intensif sejak Jun lepas, skuad olahraga para negara kini berada di landasan terbaik untuk beraksi pada Sukan Paralimpik Tokyo yang dijadual pada Ogos tahun depan.
Ketua Jurulatih Skuad Olahraga Para negara R Jaganathan berkata dalam tempoh kira-kira lapan bulan menjelang temasya sukan para terbesar di dunia itu, anak didiknya kini hanya perlu memantapkan ketahanan mental dan diberi pendedahan bertanding di kejohanan luar bagi memastikan mereka cukup bersedia dan tidak gementar menghadapi saingan pada Sukan Paralimpik Tokyo.
“Sekarang mereka boleh dikatakan sudah 85 peratus bersedia untuk bersaing di Tokyo, hanya perlu pastikan ketahanan mental berada dalam keadaan terbaik. Saya harap sangat temasya sukan ini tidak akan ditunda.
Jika ditunda lagi, ia sangat mengganggu prestasi atlet dan mereka tidak boleh fokus. Saya mengaku agak susah mahu pastikan mereka sentiasa positif selepas temasya sukan itu ditunda,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Setakat ini, empat atlet para iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) sudah layak ke Paralimpik Tokyo selepas meraih pingat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai.
Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan Kerajaan Jepun bersetuju meminda tarikh penganjuran Sukan Paralimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 Sept 2020 kepada 24 Ogos hingga 5 Sept 2021 susulan pandemik COVID-19.
Mengenai kelonggaran diberikan kerajaan berkaitan penganjuran kejohanan di peringkat antarabangsa, Jaganathan berkata inisiatif dilaksanakan itu bertepatan bagi “menghidupkan” semula sektor sukan yang terjejas akibat penularan penyakit itu.
Namun, Jaganathan menegaskan selaku jurulatih, beliau lebih mementingkan keselamatan dan kesihatan anak didiknya yang memerlukan penjagaan kesihatan lebih rapi berbanding atlet normal, sebelum memutuskan menghantar mereka ke luar negara.
“Kalau pergi ke kejohanan luar negara, saya akan pastikan ia berbaloi dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti digariskan Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi tahun 2021, skuad olahraga para negara akan sertai Kejohanan Grand Prix IPC yang bermula di Dubai, diikuti Brazil dan Itali. Ini adalah kejohanan kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo,” katanya.
Pada 18 Dis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mengenai kebenaran menganjurkan kejohanan atau pertandingan peringkat antarabangsa namun ia tertakluk kepada Jabatan Imigresen.
Beliau berkata penyertaan bagi negara-negara berisiko tinggi tidak dibenarkan, kecuali mendapat kebenaran Imigresen, begitu juga dengan penyertaan atlet negara ke kejohanan antarabangsa khususnya ke negara berisiko tinggi juga perlu mendapat kebenaran JIM.
Dalam perkembangan lain, Jaganathan memaklumkan beliau merancang untuk mengadakan empat sirkit kebangsaan bermula pada Mac depan bagi memilih wakil negara ke Sukan Para ASEAN 2021 di Hanoi, Vietnam.
Enam atlet olahraga disenarai pendek buru slot merit ke Sukan Olimpik 2020