Hamilton harap kelab kegemarannya kembali menyerlah
Lewis Hamilton (Foto: Petronas)
21/12/2020 09:06 PM
Oleh R. Vikneswaran
KUALA LUMPUR, 21 Dis — Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1) Lewis Hamilton berharap kelab bola sepak kegemarannya, Arsenal akan bangkit kembali selepas menerima banyak kritikan daripada peminat dan menjadi bahan ejekan di internet kerana prestasi buruk pada musim ini.
Pelumba British berusia 35 tahun itu mahu pasukan bimbingan Mikel Arteta memperbaiki persembahan mereka yang mengakibatkan permulaan terburuk dalam satu musim selama 46 tahun, untuk menamatkan musim ini dalam kedudukan yang baik.
“Saya sudah pasti mengharapkan musim yang baik, kepada pasukan itu yang bekerja keras. Saya rasa kami mempunyai sebuah pasukan yang kuat, saya sangat berharap mereka mengecap kejayaan,” kata pemandu Mercedes AMG Petronas itu.
“Saya sudah menyaksikan Arsenal bermain buat sekian lama, menyokong mereka ketika naik dan turun. Jika saya tidak dapat menyaksikan perlawanan, rakan karib saya akan menghubungi saya setiap hari, dia memberitahu saya keadaan terkini,” kata Hamilton kepada Bernama dalam sesi bersama media secara maya baru-baru ini.
Baru-baru ini “The Gunners” berada di dalam kedudukan yang membimbangkan dengan kemungkinan diturunkan ke liga divisyen kedua, dengan hanya memenangi empat daripada 14 perlawanan untuk mengutip 14 mata di kedudukan ke-15, hanya empat mata di atas Burnley selain daripada deretan kad merah dan dua gol sendiri dalam beberapa perlawanan lepas.
Biarpun memegang rekod sebagai satu-satunya pasukan Liga Perdana Inggeris dengan rekod tanpa kalah dalam 49 perlawanan, dalam perjalanan untuk menjuarai musim 2003-2004 tanpa sebarang kekalahan yang membolehkan mereka mendapat gelaran “The Invincibles” , rekod 14 kali menjulang Piala FA dan kekal di kedudukan atas bola sepak Inggeris selama 100 tahun, kelab dari Utara London itu berhadapan risiko diturunkan ke divisyen kedua jika persembahan buruk mereka berterusan.
Itu adalah sesuatu yang tidak ingin dirasai Hamilton selaku seorang peminat setia Arsenal, yang akan merosakkan anginnya selepas berjaya memenangi kejuaraan dunia buat kali keempat berturut-turut tahun ini dan dipilih sebagai Personaliti Sukan BBC 2020.
Sementara itu, Hamilton berkata beliau tidak sabar-sabar menanti cuti musim ini lebih dari musim lain dalam kerjaya perlumbaannya selama 27 tahun, selepas menangani cabaran dalam musim yang terganggu oleh COVID-19, termasuk sekatan perjalanan dan cara baharu berlumba dengan mengamalkan prosedur operasi standard dan penjarakan sosial.
“Saya rasa ia berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini, tidak mudah untuk bersama dengan mereka yang tersayang kerana kami inginkan semuanya selamat, jadi tiada pengembaraan. Tetapi yang penting sekali, ingin bersama yang tersayang (untuk cuti Krismas) adalah bagus.
Hanya rasa teruja untuk tidak memikirkan perlumbaan akhirnya , mematikan suis adalah saat paling menggembirakan buat saya … berehat menikmati ‘pancake’ dan menjadi sedikit tembam buat seketika. Menonton filem dan tidak perlu bimbang tentang gim, pertandingan dan sebagainya,” katanya.
Hamilton yang merupakan mangsa COVID-19 dan menyebabkan beliau tidak dapat berlumba di Grand Prix Sakhir di Bahrain, berharap pandemik itu dapat dikawal tahun hadapan sebelum terus dibanteras dalam bulan-bulan mendatang dengan kewujudan vaksin sekarang.
Selain daripada menyamai rekod legenda F1 juara dunia tujuh kali Michael Schumacher, Hamilton juga mengukir namanya sebagai pemandu F1 yang paling terpuji, memenangi 95 perlumbaan, 98 petak utama dan 165 podium, melebihi pelumba lain untuk diangkat peminat sebagai tokoh sukan terunggul sepanjang zaman.
Dijangkiti COVID-19, Hamilton terlepas peluang sertai GP Bahrain