Kongres AS lulus pakej bantuan kecemasaan COVID-19 US$900 bilion

21/12/2020 02:03 PM

WASHINGTON, 21 Dis — Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan usul rang undang-undang (RUU) pakej bantuan COVID-19 bernilai kira-kira US$900 bilion, lapor Agensi Berita Sputnik, memetik Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell.

“Ketika rakyat Amerika terus berperang dengan COVID-19 pada musim cuti ini, mereka tidak bersendirian. Kongres baru saja mencapai kesepakatan. Kami akan meneruskan satu lagi pakej bantuan secepatnya. Lebih banyak bantuan akan diterima” kata McConnell di Twitter pada Ahad.



Speaker Dewan Nancy Pelosi dan Ketua Demokratik Senat Chuck Schumer mengesahkan kedua-dua dewan telah bersetuju mengenai beberapa pakej bantuan kecemasan baharu COVID-19 pada Ahad.

“Setelah berminggu-minggu melalui perbahasan yang tegang, kami akhirnya mencapai kesepakatan mengenai pakej kecemasan #COVIDrelief . Ini akan memberikan bantuan kecemasan segera kepada negara. Perundangan ini mesti dipercepatkan. Banyak lagi yang kita perlu buat di bawah Presiden Biden,” ciap Schumer di Twitter.

Pakej baharu itu merangkumi US$300 faedah pengangguran mingguan dan bantuan tambahan US$600 serta lebih US$284 bilion untuk pinjaman pertama dan kedua Program Perlindungan Pendapatan (PPP) dan dana US$15 bilion bagi “tempat majlis siaran langsung, teater filem persendirian, dan institusi budaya,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan Pelosi dan Schumer.

Pakej bantuan ini juga merangkumi bantuan sewa US$25 bilion dan menyediakan dana US$82 bilion untuk kolej dan sekolah, serta US$10 bilion bantuan penjagaan anak.



Bercakap kepada pemberita selepas kelulusan itu, Schumer berkata pakej itu memberi kelegaan namun, AS masih memerlukan “RUU kedua untuk terus menangani keadaan kecemasan.”

Pemimpin Demokratik Senat itu berjanji “akan mengusulkan RUU lebih besar dan kukuh” tahun depan, ia bakal menjadi tugas utama pentadbiran Biden.

Kongres AS pada Mac meluluskan Undang-Undang Bantuan dan Keselamatan Ekonomi Koronavirus (CARES) US$3 bilion, bertujuan menyediakan perlindungan gaji pekerja, pinjaman dan geran untuk perniagaan serta bantuan peribadi lain untuk warganegara dan penduduk yang memenuhi syarat.

Bagaimanapun, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Demokrat dan Republikan berselisih pendapat mengenai rancangan bantuan itu.



Pada awal Disember, Demokrat dan Republikan mengusulkan RUU bantuan sebanyak US$908 bilion, yang mendorong kedua-dua pihak meneruskan perbahasan.

Kedua-dua pihak mencadangkan RUU itu dibahagikan kepada dua usul iaitu sebanyak US$748 bilion diperuntukkan untuk faedah pengangguran, bantuan perniagaan kecil dan program lain, yang dipersetujui kebanyakan anggota dewan.

Sementara itu, sejumlah US$160 bilion lagi disalurkan bagi perlindungan liabiliti firma dan bantuan kepada kerajaan negeri dan tempatan, usul ini mencetuskan banyak pertikaian.

Panel FDA AS syor benarkan vaksin COVID-19 Pfizer untuk kegunaan kecemasan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button